Monday, April 6, 2015

Thanks Because Bring Love In Our Friendship



Assalamualaikum dunia ... 

Bicara aku bermula dengan madah yang kaya dengan budi bahasa.

Aku yakin dan percaya, since 2 April 2015 ramai abang-abang, kakak-kakak, mak cik, pak cik race atas jalanraya menuju ke pawagam dek kerana aura FF7, termasuklah aku yang bergegas ramp motosikal ala-ala riders / bikers padahal naik EX5 yang tunggu masa nak lingkup saja lagi. Port lepak aku adalah di Alamanda. Tiket bapak mahal (normal) tapi nasib aku yang masih bergelar mahasiswa dapat potongan harga baik punya, tunjuk kd pelajar, so RM 10 tu boleh balik baki dalam RM 2.

So, dipendekkan cerita, aku layan movie yang berdurasi kira-kira 2 jam tu dengan mendongak kepala melangit tinggi sikit (sebab seat aku paling depan - sakit tengkok beb). Permulaan cerita memang gempak dengan aksi-aksi yang buatkan aku balik hostle cuci mata dengan air Yasin (air yang biasa orang kampung letak tengah-tengah bulatan gembira malam Jumaat di surau / masjid). Tapi itu bukan yang aku nak sentuh dalam story telling kali ni. 

Yang aku nak sentuh is about friendship, blood brother, family, team work, (bajet cakap Inggeris supaya orang nampak macam educated sikit) dan wala' (taat setia). Itulah nilai-nilai yang boleh aku grab sepanjang movie Fast Farious 1 - 7 ni. Ending movie yang paling touching dalam movie ala-ala gengster macam ni. Tak semua movie mampu bagi best ending beb. Tapi ini the best among the best.

Pada aku nilai seorang sahabat / kawan atau aku istilahkan brader, jangan pernah ko sia-siakan. Tambah-tambah kawan yang pernah hadir dalam hidup ko tu dah guide ko ke arah yang Tuhan redha. Kalau dia bawa ko ke arah memang mintak azab, tugas ko la betulkan dia. Jangan ko nak kutuk-kutuk dia beb. Dia manusia, tak semua manusia tu baik dan tak semua manusia tu jahat. Masing-masing pernah buat dosa. Cari jalan balik bertaubat. Simple life but penuh dengan ibrah.

Life sebagai seorang mahasiswa yang dikelilingi oleh mahasiswa lain a.k.a brader selama 3 tahun sampai satu tahap ko boleh tahu dia suka apa dan tak suka apa tu paling rare. Because saat begini ko akan rasa ko ada one big family. Those who have family, takkan sampai tahap nak merosakkan family kan. Yang merosakkan family we should call "......" (depend on your own word). Macam tu jugak dengan brader. Dan, we as person who have iman in our heart / soul, siapa pun brader kita, accept him, teach him, bring him to God, untill we all meet in Jannah. InsyaAllah.

- Thanks because bring love in our friendship -
(aku sebat ayat Dominic sebab sangat-sangat bermaksud)

Monday, February 16, 2015

Formula 6M Menjamin Kualiti Seorang Pekerja


Assalamualaikum ... 


Suka penulis ingin kongsikan bersama pembaca mengenai formula 6M dalam menjami kualiti seorang pekerja sama ada anda adalah pekerja atasan mahupun pekerja bawahan. Selamat beramal dengannya. Mudah-mudahan pekerjaan yang kita lakukan itu diterima sebagai ibadah oleh Allah S.W.T. InsyaAllah.


Musyaratah (Penetapan Syarat)

Musyaratah sebagai peringkat pertama adalah penetapan syarat bagi diri sendiri. Akal harus membuat pensyaratan dengan jiwa, memberikan pelbagai tugas, menetapkan beberapa syarat. Seseorang yang ingin melakukan riyadah (latihan) harus menetapkan syarat-syarat bagi dirinya yang harus dipenuhi dan dilaksanakannya iaitu mengisi hari dan waktunya dengan perkara-perkara berfaedah dan menjauhkan dosa-dosa besar dan kecil. Di tangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan soleh  manakala merosakkan diri dan hati adalah dengan maksiat dan kejahatan.

Muraqabah (Pengawasan)

Langkah seterusnya setelah penetapan syarat ialah muraqabah, iaitu pengawasan diri dengan keyakinan bahawa Allah SWT melihat semua yang dikerjakan seseorang. al-Ghazali (1999) mentakrifkan muraqabah sebagai “suatu sikap hati merasa terus-menerus diawasi oleh Tuhan Yang Maha Mengawasi, dan segala perhatian tercurahkan sepenuhnya kepada Sang Maha Pengawas itu”.

Dalam erti kata lain, muraqabah ialah kesedaran seseorang bahawa diri dan peribadinya senantiasa dalam pengawasan dan pengamatan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Mengawasi segala sesuatu.

Muhasabah (Melihat Ke Dalam Diri)

Muhasabah ertinya menghitung diri, atau melakukan introspeksi terhadap seluruh apa (ucapan atau perbuatan lahir mahupun batin). Seterusnya memperhitungkan untung rugi dalam melakukan amal bagi diri sendiri. Muhasabah dilakukan untuk mengetahui kesalahan-kesalahan yang dilakukan sehingga timbul kesedaran dalam diri untuk melakukan mu’aqabah an-nafs iaitu menghukum diri sendiri.

Mu’aqabah (Menghukum Diri)

Peringkat seterusnya setelah muhasabah ialah mu’aqabah iaitu dengan menghukum diri sendiri. Mu’aqabah berasal daripada perkataan arab ‘iqab yang beerti denda. Mu’aqabah an-nafs dilakukan sesuai keperluan latihan anggota tubuh, misalnya apabila seorang sufi makan makanan yang syubhat (meragukan) dengan penuh hawa nafsu, ia menghukum perutnya dengan menahan lapar beberapa waktu lamanya atau apabila matanya melihat yang haram maka dihukum matanya itu dengan disiksanya dengan tidak melihat apa-apa dalam beberapa waktu. Oleh itu, dapat difahami bahawa konsep mu’aqabah ini ialah menghukum atau mendenda diri disebabkan kesalahan yang dilakukan dengan meningkatkan amal kebaikan.

Mujahadah (Bersungguh-Sungguh)

Apabila seorang hamba menghisab dirinya lalu ia melihat bahawa ia melakukan maksiat, seharusnya dia menghukum dirinya dengan pelbagai hukuman sebagai hukuman atas kelalaiannya dan jika ia melihat bahawa dirinya agak bermalas-malasan melaksanakan kebaikan atau wirid yang telah ia biasakan maka seharusnya ia mendidik dirinya itu dengan menambah beban wiridnya dan mendisiplinkan berbagai ibadah untuk menambah apa yang ditinggalkannya dan dilalaikan waktu.

Mu’atabah (Mencela Diri)

Mu’atabah ialah satu proses penginsafan diri dan perlakuan manusia. Ia adalah peringkat yang lebih tinggi dari muhasabah. Ia merupakan satu sikap pencelaan terhadap sikap yang buruk. Proses mu’atabah boleh dilakukan dengan mempertingkatkan diri secara syakhsiah, akan keburukan diri disebabkan oleh sikap yang lagi hina. Proses mu’atabah ini mampu menghalang dan menghapuskan segala sikap yang buruk dan negatif.

Kesimpulannya ... 

Di dalam bidang pengurusan Islam banyak mengaitkan aspek iman, akhlak dan jiwa yang bersih dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang pekerja, majikan, pengurus mahupun pemimpin dalam sebuah organisasi atau masyarakat. Pengurusan jiwa manusia merupakan aspek penting dalam pengurusan kerana ia mampu menjadi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang di hadapi dalam pengurusan organisasi seperti berlakunya penyelewengan, ketidaktelusan, rasuah dan juga prestasi kerja yang buruk. 

Oleh itu, Islam mengajarkan umatnya menjalani proses intrispeksi diri bukan sahaja sebagai hamba Allah s.w.t tetapi menilai diri dalam bidang pekerjaan. Penialaian ini juga seharusnya dijalani dengan mengaplikasikan formula- formula yang diajar Islam agar ia tidak hanya proses introspeksi yang biasa tapi suatu proses yang mampu meningkatkan prestasi diri sebagai pekerja dan sekaligus sebagai hamba Allah S.W.T.

Melalui pengaplikasi formula 6M iaitu musyaratah, muraqabah, muhasabah, mu’aqadah, mujahadah dan mu’atabah sebagai proses introspeksi diri manusia mampu memastikan matlamat penilaian diri itu tercapai. Manakala hasil introspeksi itu sangat tulus dan mampu digunakan sebagai pemangkin kepada penambahbaikan seorang pekerja terhadap prestasi diri agar mampu menjadi pekerja yang cemerlang di dunia dan juga akhirat. 


Sunday, February 15, 2015

Belangsungkawa Murabbi Ummah


Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali. Tidak dapat terungkap dengan kata-kata. Jantung bagai ditusuk pedang yang tajam. Suasana hiba menyelubungi hati dan jiwa. Tanggal 12 Februari 2015, Khamis malam Jumaat, sekitar jam 9.40 malam, Malaysia umumnya, umat Islam Malaysia seluruhnya telah kehilangan seorang lagi permata agama pergi menyambut seruan Ilahi buat selamanya iaitu Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. 

Suasana pada ketika itu, sungguh hiba kerana hilangnya seorang insan yang memberi impak dalam jiwa masyarakat, baik Muslim mahupun bukan Islam. Hati dan jiwa mana yang tidak runtuh apabila kehilangan seorang insan yang digelar sebagai Murabbi Ummah yang disayangi bahkan dicintai. Insan ini telah berjaya menawan jiwa dan raga seluruh lapisan masyarakat dengan prilaku dan contoh tauladan yang baik. Hatta, di medan politik, allahyarham adalah seorang lagenda dan ikon dalam penyatuan ummah sejagat. Apakan daya, Allah lebih menyayanginya.

Bilamana berbicara soal perjuangan, ternyata sekali beliau sentiasa tabah, thabat dan kuat mengharungi liku-liku yang cuba menghalangnya dari mencapai sesuatu perkara. Jiwa sebagai seorang pendakwah, jiwa sebagai seorang pejuang, telah menjadi motivasi kepada ummah sejagat dalam meniti perjuangan hidup yang pelbagai ragam. Perjuangan allahyarham bukan semata-mata mahukan kemenangan, tetapi kerana satu prinsip dimana Islam itu harus berdiri tegak di atas muka bumi Allah.

Ambillah ibrah daripada perjalanan hidup seorang Murabbi Ummah ini sebagai salah satu panduan yang dekat dengan hati dan jiwa kita untuk menjadi seorang insan yang mulia disisi Allah dan juga mulia disisi manusia.

Al-Fatihah ...

- Muhammad Hafiz Aizat | 15 Februari 2015 | 8.26 PM  -


Sunday, February 1, 2015

Hasil Tugasan Teknologi Maklumat Dakwah

Antara hasil tugasan bagi subjek Teknologi Maklumat Dakwah , Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.






Wednesday, September 17, 2014

Kalam Bisa Membunuh Jiwa


Antara perkara yang indah yang diajarkan dalam Islam adalah Muslim diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan yang baik atau sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya. Muslim bukan seorang pencarut, pemaki hamun orang, atau pencerca dengan cercaan yang keji dan jelik. Ketahuilah bahawasanya lidah muslim itu indah, atau selamat daripada mengeluarkan kalimah-kalimah yang tidak senonoh. Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tapi kalimah-kalimat yang ingin dituturkan itu dipilih, tidak luncah, tidak juga berbentuk kejian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan :

“ Bukan Nabi SAW itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain “ ( Riwayat al-Bukhari )

Mencerca atau memaki sememangnya bukan menjadi budaya umat Islam. Dalam riwayat al-Tabarani pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi SAW lalu bersabda yang bermaksud :
“ Memaki hamun Muslim itu perbuatan fasik dan memerangi Muslim itu perbuatan kufur”
Lantas, dari manakah sifat tercela itu hadir?

Di Barat, tidak dinafikan wujud kesopanan dan kesantunan di dalam petuturan mereka di dalam urusan rasmi, namun bahasa tidak senonoh tetap juga dituturkan dan sudah sebati dalam kehidupan mereka. Hamburan kejian, luncah dan penghinaan sentiasa meniti di bibir dan berlegar-legar dalam ruangan kehidupan mereka sehinggakan hampir semua filem yang dipertontonkan oleh Barat mengandungi unsur ini. Akan tetapi, filem seumpama inilah yang diangkat, dipuji dan dijadikan contoh oleh penggiat seni agar meraih populariti sama seperti mereka.

Lalu, apakah kita perlu bersikap kasar dengan mereka? Menuturkan kata-kata kasar sebagai galang ganti kepada perasaan penuh kebencian kepada barat?

Terdapat hadis yang menjadi cerminan untuk kita ikuti sebagai acuan dalam membentuk peribadi muslim. Hadis di mana saat sekumpulan Yahudi datang bertemu Nabi SAW dan memberikan salam dengan mengucapkan as-sam alaikum yang bermaksud ‘ maut ke atas kamu ‘. Nabi SAW menjawab ‘wa alaikum’ sahaja. Isteri Nabi, Aisyah r.a yang perasan dengan mainan ucapan salam Yahudi tersebut telah menjawab “ as-sam ‘alaikum wal la’nah “ yang bermaksud ‘ maut dan laknat ke atas kamu. Nabi SAW lantas bersabda yang bermaksud :

“ Nanti dahulu wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam semua perkara. Jawab Aisyah, “ Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah apa yang mereka kata?”  Sabda Nabi SAW, “ Aku telah pun menjawab “wa ‘alaikum”. ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Lihatlah betapa lunaknya balasan Nabi terhadap cercaan dan penghinaan Yahudi kepada baginda. Inilah merupakan peribadi yang perlu dicontohi oleh seluruh umat Islam. Perhatikanlah dengan mata, dengarkanlah dengan telinga, kita pasti terduduk kecewa saat mendapati bahawa umat Islam pada hari ini gagal dalam menjaga lidahnya dari menuturkan kata-kata cacian dan penghinaan dek kerana terdorong oleh nafsu dan kemarahan melampau kepada musuh-musuh Islam sehingga kita lupa mencotohi Nabi SAW dalam menuturkan kalam yang baik.

Sedarilah bahawa, ilmu yang melimpah, harta yang bertimbun, sahabat yang ramai, belum tentu mampu membuatkan lidah ini terlepas dari menuturkan kata nista, cacian dan hinaan, sekalipun diri bergelar seorang pendakwah. Hakikatnya, pendakwah yang lahir tidak mampu membimbing masyarakat dan ummah kerana gagalnya dalam membentuk peribadi mulia.

Lidah tidak bertulang, namun bisa membunuh jiwa-jiwa manusia, menghiris hati-hati insan, menghakis iman seorang muslim. Budayakan lidah menuturkan kata-kata indah, kalimah-kalimah nasihat, agar ia membuahkan manfaat untuk diri dan umat Islam. Usah marah, usah pula meradang, saat orang lain tidak mahu ikut dan turuti nasihat dari kita, kerana ketahuilah bahawa, kita sendiri tidak mahu turuti dan laksanakan apa yang kita sendiri tuturkan.

Wan Muzhaffar Bin Wan Muda
Naib Yang Di Pertua II
Persatuan Mahasiwa Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 2014/2015

Usia Muda Usah Di Sia-Siakan

Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat yang diberikan kepada kita, nikmat kehidupan, kesihatan, iman dan Islam. Mana mungkin dapat kita kecapi nikmat-nikmat ini melainkan dengan keizinan dan kekuasaan Allah S.W.T. Sebagai hamba dan khalifah di bumi, sudah pasti pengabdian diri kepada Allah suatu yang utama. Segala pekerjaan dan tindakan adalah untuk mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.
Justeru dalam hidup seorang muslim, perlunya ada rasa ingin berlumba dalam membuat kebaikan. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 148 : “Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan.” Di saat Allah masih menganugerahkan pada kita nikmat kesihatan, masa serta umur yang masih muda peluang inilah yang harus dimanfaatkan dengan perkara-perkara yang baik. Sebagai contoh sebagai hamba, selalu bermuhasabah diri dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah di dalam senang mahupun susah. Nikmatnya sangat terasa bila mana kita sentiasa dekat pada-Nya. Apabila ditimpa kesusahan sentiasa bersabar, bila diberi kesenangan sentiasa bersyukur.
Dengan kesempatan umur yang masih muda, sebagai mahasiswa hendaklah berlumba-lumba mencari ilmu, dan suburkan semangat cintakan ilmu dalam diri kerana ilmu itu penyuluh kehidupan. Terus jua melangkah sebagai orang yang dititipkan amanah, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.  Di dalam surah Al-Mu’minun ayat 61, Allah S.W.T menyebut bahawa ciri-ciri orang yang takut kepada azab Allah ialah bersegera dalam membuat kebaikan.
Dalam kehidupan bermasyarakat, akhlak dan adab yang sopan menjadi penguat silaturrahim. Andai terdapat kekhilafan, saling menegur dan memberi nasihat kerana manusia itu tidak terlepas dari berbuat salah. Hidupl sebagai seseorang yang dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Segalanya datang dari hati, andai bersih hati, kebaikan budi dan keindahan pekerti pasti mengiringi.
Dalam membuat kebaikan, sudah tentu kita tidak terlepas dari pelbagai ujian. Ujian inilah yang menguji takat keimanan dan kebergantungan kita kepada Allah. Walau apapun, terus senyum menyebar kebaikan, bukan sahaja dengan kata-kata, tapi praktikkan dalam amalan harian, kerana dakwah melalui perbuatan itu lebih memberi kesan dan menjadi ikutan. Saling menegur  dan mengingatkan antara kita.. Moga Allah redha.

Nasibah binti Ahmad Najib
Timbalan Bendahari  
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 2014/2015

Aku Adalah Daie


Bismillahirrahmanirrahim...

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.. Tuhan yang menjadikan segala sesuatu dan maha mengetahui segala sesuatu. Hari ini, jika kita bercakap mengenai dakwah, semestinya setiap daripada kita membayangkan sesuatu yang sangat berat terpikul di atas pundak kita. Ibarat seketul batu besar yang menghempap di atas bahu yang terpaksa dipikul secara rela paksa.

Kadangkala, apabila bercakap mengenai dakwah, ada pula yang beranggapan ianya hanyalah tugas seorang ustaz ustazah yang mengaji atau belajar agama. Namun, pernah atau tidak kita terfikir bahawa tugasan dakwah ini tugas semua umat islam, tugas semua manusia yang bergelar islam? Ya. jika kita semua sebagai umat islam berpegang kepada prinsip bahawa setiap umat islam itu wajib menyampaikan dakwah, maka, tidak timbullah isu "ana bukan ustaz, ana tidak layak." "Ana blajar kitab hadis 40 pun tak khatam lagi, macam mana nak dakwah orang. "
Bukankah Rasulullah pernah bersabda :

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
Yang bermaksud 'sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat'. Hadis ini menunjukkan bahawa sekiranya kita tahu berkenaan islam sedikit, maka sebarkanlah sedikit, sekiranya kita tahu banyak, sebarkan sebanyak mana ilmu yang kita ada. Sangat menarik sekiranya hadis tersebut digandingkan pula dengan sepotong lahi hadis yang berbunyi :

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ وَمُسْلِمَةٍ
'menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim'. Oleh itu, wajib bagi kita sebagai umat islam untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin,kemudian berusaha untuk menyampaikannya.

Ilmu di sini tidak hanya difokuskan untuk ilmu agama sahaja, namun merangkumi pelbagai jenis ilmu yang sangat meluas berkembang di atas muka bumi Allah ini. Islam tidak pernah menyekat umatnya untuk  maju di dalam pelbagai bidang. Kesilapan kita umat islam adalah apabila kita mencebur diri dalam bidang sains sebagai contohnya, kita tidak memanfaatkan peluang yang kita ada sebagai ahli sains untuk menyebarkan dakwah.

Alangkah ruginya kita apabila peluang yang terbuka luas ini dipersiakan. Tetapi, alangkah indahnya sekiranya umat islam di serata dunia menguasai pelbagai bidang ilmu dan pada masa yang sama mempunyai matlamat yang satu, iaitu untuk menyebarkan dakwah islamiah. Adakah perkara ini mustahil? Tidak. Tidak sama sekali ianya mustahil, hal ini kerana, ianya telah dibuktikan suatu masa dahulu apabila umat islam dahulu telah berjaya menyebarkan Agama Allah ini ke serata dunia sehinggakan berjaya menawan dua pertiga dunia.

       Nama-nama tokoh islam yang hebat seperti Sultan Muhammad al-Fateh, Ibn Sina, al-Khawarizmi, Ibn al-Rusyd dan pelbagai lagi nama tokoh tokoh islam yang hebat pernah menggegarkan dunia dengan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang. Allah, sangat hebat, namun, perkara ini tidak mungkin terjadi tanpa adanya tarbiah yang hebat dalam diri setiap umat islam pada masa itu.

Jadi, apakah kita sebagai umat pada masa ini hanya perlu berdiam diri dan berbangga dengan kejayaan umat terdahulu tanpa berusaha untuk menyambung perjuangan menyampaikan dakwah islamiah ini? Tepuk dada, tanya iman.

Bagaimana nak menyampaikan dakwah, nak mencegah kemungkaran? Saya tidak pandai. Bagaimana nak menyampaikan dakwah nak mencegah kemungkaran? Saya bukan ustaz, bukan ustazah, saya tiada kuasa, saya tidak mampu. Allah. bukankah sudah dijelaskan bahawa islam itu indah? Sebelum kita berkata sedemikian, Rasulullah telahpun memberikan jawapanya kepada kita.. Bagaimana? Melalui sepotong hadis :

Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya :

Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. (Hadis sahih riwayat Muslim)

Oleh kerana itu, pentingya kita sebagai umat islam supaya menceburkan diri dalam pelbagai bidang, jadilah orang yg berpengaruh di dalam setiap bidang yg kita pilih, maka, secara tidak langsung kita berkuasa untuk berdakwah dan mencegah kemungkaran melalui pelbagai cara termasuklah cara yang pertama atau kedua. Namun, sekiranya kita tidak mampu untuk mencegah kemungkaran melalui kuasa dan lisan, jangan tinggalkan terus tugasan dakwah ini, gunalah cara yang ketiga, iaitu melalui hati. Namun, perlu diingatkan bahawa ianya selemah-lemah iman. Adakah pilihan terakhir yg menjadi pilihan kita? Semuanya di tangan kita.

Akhir kalam, jadilah kita manusia sebagaimana yang digariskan oleh Islam. "Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia lain". Jadilah kita manusia yang bermanfaat kepada orang lain, apabila kita ada, kita dihargai, Apabila kita tiada, kita diingati. Ibarat biji benih yang dicampak ke laut menjadi pulau dicampak ke daratan menjadi gunung.

Hani Syazwani Binti Aziz
Naib Yang Di Pertua 1
Persatuan MahasiswaFakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sesi 2014/2015