Subhanallah. Alhamdulillah. Itu kalimah yang mampu aku ungkapkan. Syukur apabila di datangi sahabat yang bisa memberi peringatan kepada diri ini. Setiap kata-kata yang keluar dari bibirnya, amat menyentuh dan memberi 1001 makna. Lantas pemikiran ini memujuk hati serta diri untuk sentiasa dan istiqamah berada pada jalan yang diredhai Allah.
Iman Era Moden. Ya, itu yang bisa aku lafazkan sekarang. Kebiasaannya kita sentiasa mendengar bahawa iman manusia kadangkala naik kadangkala menurun. Tidak sama iman manusia biasa dengan para nabi dan rasul. Kerana iman mereka sentiasa bertambah dan bertambah dari semasa ke semasa. Tidak seperti kita yang sentiasa terdedah kepada dosa dan noda. Istilah sekarang masih digunakan iman manusia itu naik dan turun dan ada satu pertambahan dari apa yang didengari iaitu iman manusia kini keluar dan masuk. Allahuakbar. Ya, ternyata iman manusia kini keluar dan masuk. BAHAYA !! Kerana tidak dikatakan seseorang itu beriman selagi dia melakukan maksiat yakni kemungkaran di atas muka bumi Allah. Muhasabah diri kita semula. Adakah kita layak untuk berada disyurga Allah atau adakah kita ini bakal dilemparkan ke neraka Allah? Tepuk dada tanyalah iman. Selagi mana diri kita masih dikancah kebinasaan, maka sedarlah bahawa kita sedang menempah azab Allah.
Ini bukan satu omongan kosong. Ini satu peringatan buat kalian dan diri ini. Hakikatnya, kita sudah lali dan serasi dengan cara kehidupan kita yang serba leka ini. Ya ! Aku berani berkata demikian. Cuba fikirkan semula, sudah berapa tahun kita diberi peluang hidup di muka bumi Allah ini? Berapa banyakkah amal ibadah kita terhadap Allah? Adakah kita melaksanakannya secara sempurna atau adakah kita melakukan sambil lewa atau adakah kita hanya memadang perkara itu hanya dengan sebelah mata?
Manusia oh manusia, mengapa kita masih terleka dengan mainan dunia? Allahuakbar. Sepatutnya kita menjadikan dunia ini sebagai satu persinggahan sementara untuk mengaut keuntungan di akhirat. Bukan apabila terjadi sesuatu musibah baru kita nak dekat dengan Allah. Tidak ! Itu salah caranya. Kita hendaklah sentiasa dekat dengan Allah tiap masa dan ketika. Allah itu satu-satunya tempat pergantungan kita. Tempat segala nikmat yang dicurahkan kepada kita. Kita makan nasi, kenyang bukan? Bukan kerana nasi itu kita kenyang, tapi Allah yang bagi kita kenyang. Kita tidur untuk rehat bukan? Bukan kerana tidur itu kita rehat, tapi Allah yang izinkan kita berehat. Masih lagi manusia ini tidak sedar, ego, takbur !
Kita ini hanyalah hamba Allah. Kepatuhan dan ketaatan itu satu-satunya kita laksanakan semata-mata kerana perintah Allah. Mengapa harus takut untuk kita melakukan kebaikan? Mengapa harus pandang serong sekiranya kita ingin berubah ke arah yang diredhai? Adakah manusia itu berkuasa? Mungkin hanya kepada yang berjawatan tetapi Allah itu Maha Berkuasa ke atas sekalian alam.
Pintu taubat masih terbuka. Ya masih lagi terbuka selagi mana tidak terbitnya matahari dari sebelah Barat sana. Pandang ke dalam lubuk hati, sedarkan diri, bahawa Allah sentiasa memberi peluang kepada kita untuk berubah. Allah itu Maha Penyayang. Kalau Dia tidak sayang, tidak perlu tunggu esok untuk Allah hancurkan alam ini gara-gara manusia yang tidak patuh kepada perintah-Nya. Ayuh kita koreksi diri kita, checklist semula iman kita, semoga kita masih sempat untuk bertaubat dan berubah ke arah kebaikan. InsyaAllah. Sekiranya kita jaga Allah, Allah akan jaga kita. Bagaimana untuk kita jaga Allah? Jaga dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Takbir.

.jpg)