Monday, February 16, 2015

Formula 6M Menjamin Kualiti Seorang Pekerja


Assalamualaikum ... 


Suka penulis ingin kongsikan bersama pembaca mengenai formula 6M dalam menjami kualiti seorang pekerja sama ada anda adalah pekerja atasan mahupun pekerja bawahan. Selamat beramal dengannya. Mudah-mudahan pekerjaan yang kita lakukan itu diterima sebagai ibadah oleh Allah S.W.T. InsyaAllah.


Musyaratah (Penetapan Syarat)

Musyaratah sebagai peringkat pertama adalah penetapan syarat bagi diri sendiri. Akal harus membuat pensyaratan dengan jiwa, memberikan pelbagai tugas, menetapkan beberapa syarat. Seseorang yang ingin melakukan riyadah (latihan) harus menetapkan syarat-syarat bagi dirinya yang harus dipenuhi dan dilaksanakannya iaitu mengisi hari dan waktunya dengan perkara-perkara berfaedah dan menjauhkan dosa-dosa besar dan kecil. Di tangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan soleh  manakala merosakkan diri dan hati adalah dengan maksiat dan kejahatan.

Muraqabah (Pengawasan)

Langkah seterusnya setelah penetapan syarat ialah muraqabah, iaitu pengawasan diri dengan keyakinan bahawa Allah SWT melihat semua yang dikerjakan seseorang. al-Ghazali (1999) mentakrifkan muraqabah sebagai “suatu sikap hati merasa terus-menerus diawasi oleh Tuhan Yang Maha Mengawasi, dan segala perhatian tercurahkan sepenuhnya kepada Sang Maha Pengawas itu”.

Dalam erti kata lain, muraqabah ialah kesedaran seseorang bahawa diri dan peribadinya senantiasa dalam pengawasan dan pengamatan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Mengawasi segala sesuatu.

Muhasabah (Melihat Ke Dalam Diri)

Muhasabah ertinya menghitung diri, atau melakukan introspeksi terhadap seluruh apa (ucapan atau perbuatan lahir mahupun batin). Seterusnya memperhitungkan untung rugi dalam melakukan amal bagi diri sendiri. Muhasabah dilakukan untuk mengetahui kesalahan-kesalahan yang dilakukan sehingga timbul kesedaran dalam diri untuk melakukan mu’aqabah an-nafs iaitu menghukum diri sendiri.

Mu’aqabah (Menghukum Diri)

Peringkat seterusnya setelah muhasabah ialah mu’aqabah iaitu dengan menghukum diri sendiri. Mu’aqabah berasal daripada perkataan arab ‘iqab yang beerti denda. Mu’aqabah an-nafs dilakukan sesuai keperluan latihan anggota tubuh, misalnya apabila seorang sufi makan makanan yang syubhat (meragukan) dengan penuh hawa nafsu, ia menghukum perutnya dengan menahan lapar beberapa waktu lamanya atau apabila matanya melihat yang haram maka dihukum matanya itu dengan disiksanya dengan tidak melihat apa-apa dalam beberapa waktu. Oleh itu, dapat difahami bahawa konsep mu’aqabah ini ialah menghukum atau mendenda diri disebabkan kesalahan yang dilakukan dengan meningkatkan amal kebaikan.

Mujahadah (Bersungguh-Sungguh)

Apabila seorang hamba menghisab dirinya lalu ia melihat bahawa ia melakukan maksiat, seharusnya dia menghukum dirinya dengan pelbagai hukuman sebagai hukuman atas kelalaiannya dan jika ia melihat bahawa dirinya agak bermalas-malasan melaksanakan kebaikan atau wirid yang telah ia biasakan maka seharusnya ia mendidik dirinya itu dengan menambah beban wiridnya dan mendisiplinkan berbagai ibadah untuk menambah apa yang ditinggalkannya dan dilalaikan waktu.

Mu’atabah (Mencela Diri)

Mu’atabah ialah satu proses penginsafan diri dan perlakuan manusia. Ia adalah peringkat yang lebih tinggi dari muhasabah. Ia merupakan satu sikap pencelaan terhadap sikap yang buruk. Proses mu’atabah boleh dilakukan dengan mempertingkatkan diri secara syakhsiah, akan keburukan diri disebabkan oleh sikap yang lagi hina. Proses mu’atabah ini mampu menghalang dan menghapuskan segala sikap yang buruk dan negatif.

Kesimpulannya ... 

Di dalam bidang pengurusan Islam banyak mengaitkan aspek iman, akhlak dan jiwa yang bersih dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang pekerja, majikan, pengurus mahupun pemimpin dalam sebuah organisasi atau masyarakat. Pengurusan jiwa manusia merupakan aspek penting dalam pengurusan kerana ia mampu menjadi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang di hadapi dalam pengurusan organisasi seperti berlakunya penyelewengan, ketidaktelusan, rasuah dan juga prestasi kerja yang buruk. 

Oleh itu, Islam mengajarkan umatnya menjalani proses intrispeksi diri bukan sahaja sebagai hamba Allah s.w.t tetapi menilai diri dalam bidang pekerjaan. Penialaian ini juga seharusnya dijalani dengan mengaplikasikan formula- formula yang diajar Islam agar ia tidak hanya proses introspeksi yang biasa tapi suatu proses yang mampu meningkatkan prestasi diri sebagai pekerja dan sekaligus sebagai hamba Allah S.W.T.

Melalui pengaplikasi formula 6M iaitu musyaratah, muraqabah, muhasabah, mu’aqadah, mujahadah dan mu’atabah sebagai proses introspeksi diri manusia mampu memastikan matlamat penilaian diri itu tercapai. Manakala hasil introspeksi itu sangat tulus dan mampu digunakan sebagai pemangkin kepada penambahbaikan seorang pekerja terhadap prestasi diri agar mampu menjadi pekerja yang cemerlang di dunia dan juga akhirat. 


No comments:

Post a Comment