Sunday, February 15, 2015

Belangsungkawa Murabbi Ummah


Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali. Tidak dapat terungkap dengan kata-kata. Jantung bagai ditusuk pedang yang tajam. Suasana hiba menyelubungi hati dan jiwa. Tanggal 12 Februari 2015, Khamis malam Jumaat, sekitar jam 9.40 malam, Malaysia umumnya, umat Islam Malaysia seluruhnya telah kehilangan seorang lagi permata agama pergi menyambut seruan Ilahi buat selamanya iaitu Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. 

Suasana pada ketika itu, sungguh hiba kerana hilangnya seorang insan yang memberi impak dalam jiwa masyarakat, baik Muslim mahupun bukan Islam. Hati dan jiwa mana yang tidak runtuh apabila kehilangan seorang insan yang digelar sebagai Murabbi Ummah yang disayangi bahkan dicintai. Insan ini telah berjaya menawan jiwa dan raga seluruh lapisan masyarakat dengan prilaku dan contoh tauladan yang baik. Hatta, di medan politik, allahyarham adalah seorang lagenda dan ikon dalam penyatuan ummah sejagat. Apakan daya, Allah lebih menyayanginya.

Bilamana berbicara soal perjuangan, ternyata sekali beliau sentiasa tabah, thabat dan kuat mengharungi liku-liku yang cuba menghalangnya dari mencapai sesuatu perkara. Jiwa sebagai seorang pendakwah, jiwa sebagai seorang pejuang, telah menjadi motivasi kepada ummah sejagat dalam meniti perjuangan hidup yang pelbagai ragam. Perjuangan allahyarham bukan semata-mata mahukan kemenangan, tetapi kerana satu prinsip dimana Islam itu harus berdiri tegak di atas muka bumi Allah.

Ambillah ibrah daripada perjalanan hidup seorang Murabbi Ummah ini sebagai salah satu panduan yang dekat dengan hati dan jiwa kita untuk menjadi seorang insan yang mulia disisi Allah dan juga mulia disisi manusia.

Al-Fatihah ...

- Muhammad Hafiz Aizat | 15 Februari 2015 | 8.26 PM  -


No comments:

Post a Comment