Usrah
adalah keluarga. Bermakna takde usrah tak adalah keluarga. Usrah adalah satu
proses untuk mengikat hubungan di kalangan ahlinya untuk melakukan kerja kerja
Islam dengan lebih mantap. Tegur menegur dan nasihat menasihati adalah asas kepada
kekuatan jamaah. Seperti yang disarankan dalam surah Al Asr "Hendaklah
kamu nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan
kesabaran..."
Bukan mudah untuk menegur dalam perkara kebenaran dan bukan mudah juga untuk menegur tanpa menyinggung perasaan seseorang. Bukan mudah juga untuk sabar dalam menegur dan mengajak orang lain bersabar. Apatah lagi bila yang ditegur itu lebih dari kita samada dalam ilmunya,statusnya atau 'anginnya'. Tapi itulah yang diajar dalam Islam. Itulah yang diajar dalam Surah Al Asr "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang orang yang beriman dan beramal soleh,nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.
Semua ini boleh dipraktikkan dalam usrah kerana ahli usrah adalah ahli keluarga. Dalam usrah juga dapat diperkukuhkan ikatan ukhwwah malah dapat dipertingkatkan lagi mutu ukhwwah atau persaudaraan di antara ahli usrah. Itu adalah kelebihan usrah. Kemanisannya hanya dapat dirasai bila pelaksanaannya menepati kehendak usrah .
Inilah kerugian besar yang didapati bila tidak berada dalam program usrah. Lama tak berusrah menyebabkan kotak pemikiran pun sedikit jumud kerana lama tidak diasah dan digasak dengan perbincangan dengan ahli usrah. Perbincangan yang terbimbing. Perbincangan yang menjadikan sirah perjuangan nabi nabi dan para sahabat sebagai garis panduan dan idola. Perbincangan yang peringkat awalnya adalah perbualan dan pandangan teori kepada peringkat amalan dan perbuatan. Semuanya tidak mampu secara sendirian. Nabi SAW berpesan " Orang mukmin bagi seorang mukmin yang lain ibarat bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain"
Dalam Usrah ada rukunnya iaitu :
1. Taaruf
atau berkenalan-“Tak kenal maka tak cinta”. Asas kepada gerakan dakwah ialah
kasih sayang dan ia bermula dari pengenalan mendalam antara dua sahabat.
Berkenalan bukan hanya kenal nama dan hobinya tapi juga keluarganya malah
'peel' perangainya. Yang lebih utama kenal dan berkasih sayang atas semangat
cinta kepada agama Allah. Tautan ukhwah yang kukuh akan membuahkan hasil yang
baik dalam pergaulan dan seterusnya kerja kerja dakwah.
2. Tafahum
iaitu bersefahaman-Tidak akan ada ikatan ukhwah tanpa adanya persefahaman.
Persefahaman yang kuat akan dapat menggelakkan sebarang perasaan syak
wasangka,hasad dengki,jauh hati yang banyak memberi kepincangan dalam tautan
ukhwah. Persefahaman menjadikan amalan memberi dan menerima nasihat berlangsung
dengan baik.
3. Takaful
iaitu berseimbangan-Membantu dan membela nasib saudaranya,jangan sampai ada
yang terbiar atau terlantar. Takaful ini merupakan tunjang iman dan intisari
ukhwwah. Ianya dilaksanakan bermula dengan bertanya khabar,menziarahi dan
tolong menolong. Sabda Nabi SAW,"Keluar seorang dari kamu berjalan kerana
hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf
selama sebulan di masjidku ini"
Inilah 3 rukun usrah yang perlu diamalkan dan dipelihara agar matlamat dan
kemanisan usrah tercapai dan supaya usrah itu tidaklah semata mata menjadi satu
beban yang tidak mempunyai sebarang erti.

No comments:
Post a Comment