Tuesday, June 10, 2014

Dakwah Islam Ada Strategi Tersendiri


Dalam Surah An-Nahl ayat 125 telah termaktub satu panduan kepada kita semua akan kaedah-kaedah dalam menyampaikan risalah Allah iaitu Islam :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”

Sesungguhnya segala perkhabaran dan percaturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Quran mempunyai hikmah dan keajaibanya tersendiri. Dalam konteks berdakwah, segala penyampaian itu bukanlah suatu seruan yang memaksa, tetapi suatu seruan yang akan membuka minda manusia untuk memilih jalan hitam mahupun jalan yang disinari cahaya hidayah.

Dalam melaksanakan seruan ini, perlu kepada panduan yang terperinci agar apa yang disampaikan itu tidak mengundang perkara yang tidak diingini. Disamping berbekalkan pengorbanan, semangat, ilmu serta niat yang mulia dalam penyebaran agama suci ini (Islam), seseorang daie (pendakwah) itu perlukan strategi dalam perlaksaannya. Panduan sudah tersedia dihadapan mata, hanya perlu sedikit sentuhan yang manis untuk menarik para mad‘u (sasaran dakwah) untuk lebih dekat kepada Islam sesuai dengan cara suasana serta pemikiran manusia masa kini. Hal ini adalah disebabkan kemajuan dunia semakin hari semakin pesat membangun bahkan pemikiran serta keintelektualan manusia semakin maju kehadapan memerlukan kepada penambahbaikkan dalam strategi perlaksanaan tersebut.

Islam bukan tersebar dengan mata pedang tetapi Islam itu disebarkan dengan kasih sayang. Utusan Allah (para nabi dan rasul) diutuskan ke dunia ini adalah kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang hampir ke kancah azab api neraka. Melalui ayat di atas, ternyata apa yang di ajarkan daripada para nabi dan rasul kepada kita telah mendatangkan impak yang besar terhadap perkembangan Islam. Dakwah Islam adalah memberi ruang dan peluang kepada non-Muslim khususnya untuk mengenali Islam dengan kondisi yang selamat agar sebarang khabar yang didengari oleh golongan mereka sebelum ini (Islam Is Terorrist) adalah palsu belaka.

Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
10 Jun 2014 / 8.30 PM

Monday, June 9, 2014

Bila Hati Berbicara


Pena ini mencoretkan lagi nukilan hati, berbicara dengan dinding kamar bukan kerana aku kerisauan. Aku tetap dirantaian celah-celah manusia. Namun aku tetap merasa sepi. Aku bertanya pada dinding kamar kenapa aku sunyi?
Aku bicara pada rembulan yang bersinar? Aku bertanya pada si mentari?
Kenapa aku terasa kosong benar jiwa, tiada jawapan, hanya bahasa nyanyian bisu mengiringi. Bertanya pada manusia? Gelak tawa mereka adalah tangis sedih hati yang rapuh. Aku mencari keindahan pada dunia ini. Pada seorang lelaki dan perempuan, lelaki dan perempuan itu mati. Pada segumpal wang, wang itu habis, pada sebuah jawatan, jawatan itu hilang.
Aku merantau lagi, mencari kebahagian yang abadi. Berlabuh dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain. Mencari apa itu yang tenang, mencari apa yang puas. Tetap jua sama. Pulang ke halaman, bersama tangan penuh debu dosa. Keindahan yang kekal abadi itu masih tidak kunjung tiba. Ramai yang berbicara dunia ini sementara, namun tidak ramai yang bersedia. Sama jua aku. Berkira hidup ini lama lagi, berdosa tidak apa.
Terlupakah kita, dengan mengingati ALLAH jiwa menjadi tenang? Kitab suci, tersedia rapi di almari, berhabuk, lusuh sedikit tidak terusik. Menanti sahabat berlabuh nyawa meninggal dunia baru terbaca. Menanti sakit derita hiba baru terucap kalimah suci itu. Baru tersedar. Bukan dinding kamar patut kita bicara, bukan pada mentari patut kita bertanya, bukan pada rembulan, bukan jua pada sekecil hamba yang hina kita bersoal, juga bukan pada bintang dan pelangi.
Sujudlah padanya, berbicaralah dengan ALLAH tuhan segala pencipta .Bermohonlah padanya, mintalah padanya, itulah kebahagian yang aku, kamu dan mereka cari selama ini

[Sumber : iluvislam.com]

Thursday, June 5, 2014

Gerakan Islam - Antara Wala' & Taksub

Salam'alaik. Tertarik dengan suatu laman yang menceritakan tentang gerakan Islam. Apa yang diceritakan adalah realiti yang kita tidak sedar pada era ini. Mungkin perkara ini boleh dijadikan sebagai halwa fikiran untuk kita jadikan panduan dalam memajukan gerakan Islam seiring waqi' sekarang.



Islam mengajar umatnya supaya tajarrud ataupun membebaskan diri dari segala ideologi yang bertentangan dengan ajaran islam. Tidak boleh mencampur adukkan Islam dengan ajaran lain apatah lagi mengambil sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian lain. Islam sudah cukup sempurna kerana ia adalah ciptaan Tuhan Maha Sempurna, bukan ciptaan mana-mana manusia yang bersifat lemah.

Firman Allah SWT : Semulia-mulia agama disisi Allah adalah agama Islam.

Pun begitu, Islam tidak mengajar umatnya supaya menolak sebarang pembaharuan dan idea-idea baru yang bermanfaat kepada Islam selagi tidak bercanggah dengan Islam walaupun tidak pernah diamal para Nabi dan Rasul, sahabat, ulama atau nenek moyang kita sebelum ini. 

Bahkan, Islam mencela pula kita meniru buta amalan dan cara orang-orang dulu tanpa menilai terlebih dahulu dengan ilmu dan realiti semasa. Ia adalah amalan umat-umat dahulu yang enggan menerima dakwah pemulihan dan pembaharuan yang dibawa nabi-nabi mereka sehingga menerima laknat dari Allah.

Saidina Abu Bakar r.a memerangi golongan yang enggan bayar zakat. Amirul Mukminin Umar r.a banyak memperbaharui sistem pentadbiran pemerintahan islam. Khalifah Uthman pula memusatkan rujukan al-Quran kepada 5 mushaf sahaja dan Khalifah Ali RA buat pertama kalinya menubuhkan suruhanjaya bebas mengkaji semula jawatan khalifahnya. Semua contoh ini adalah perkara baru yang belum dibuat di zaman Nabi. Generasi Islam terdahulu amat mengerti konsep islah dan tajdid.

Sebenarnya tarbiyyah Islamiah melahirkan umat yang wala' bukan taksub, kritis bukan ingkar, idealistik juga realistik, terbuka tanpa terbabas, dan berprinsip bukan rigid. Muhasabah ialah salah satu bentuk "check and balance" terbaik untuk Islam sentiasa bergerak maju kehadapan. Secanggih manapun kereta yang dicipta, tetap dipasang cermin sisi dan cermin pandang belakang. Walaupun kita mungkin tidak mampu untuk meniru cara umat islam dahulu, tapi kita mungkin boleh lakukan yang lebih baik dari mereka.

GERAKAN ISLAM - Sesuai dengan namanya sebagai sebuah 'gerakan', perlu sentiasa bergerak dari satu pendekatan ke satu pendekatan, dari satu strategi ke strategi yang lain, menyusun misi dari tangga pertama hinggalah sampai ke matlamat tertingginya. Kekal dengan tradisi semata-mata adalah suatu kerugian yang amat besar. Kata Syeikh Ali An-Nadwi : Gabungan antara tradisi lama yang baik dengan penemuan baru yang bermanfaat.

Pendokong Islam tidak boleh statik dengan cara kerja orang-orang dahulu sahaja. Perlu difahami cara kerja mereka adalah sesuai dengan keadaan persekitaran mereka di zaman kegemilangan mereka. Ianya perlu sentiasa diperbaharui (muhasabah) dan disegarkan dengan langkah seterusnya. Setiap anak tangga yang didaki memerlukan booster tersendiri, yang mungkin berbeza dengan sebelumnya kerana setiap anak tangga itu punya halangan musuh yang berbeza-beza.

Kata Imam al-Qurafi : Jumud/rigid dengan hanya mengikut kata-kata orang terdahulu selama-lamanya adalah satu kesesatan dan kejahilan terhadap maksud ulama-ulama dan orang terdahulu itu sendiri. Kalaulah tokoh yang kita sanjungi itu hidup pada zaman kita, pasti mereka akan baharui prinsip lama yang mereka perkenalkan demi tuntutan massa. Nabi Muhammad SAW yang diutus lewat abad ke tujuh tidak lagi bulat-bulat membawa ajaran umat dahulu. Nabi Isa AS juga yang bakal turun akhir zaman nanti tidak lagi membawa ajaran Kitab Injilnya, tetapi menjunjung syariat hari ini. Imam Syafie sendiri terkenal dengan mazhab lama dan mazhab baru demi memenuhi dua latar yang berbeza.

Islam tidak sama dengan mana-mana ajaran yang memuja bapa ideologinya seperti Karl Marx oleh Komunis, Adolf Hitler oleh Nazi, Mahatma Gandhi oleh anti-kasta ataupun Nelson Mandela oleh anti-Apartied. Sebarang pujaan melambung terhadap beberapa tokoh dalam Islam adalah diluar norma agama. Bahkan mendewa-dewakan batang tubuh Rasulullah SAW sendiri ditegah oleh Islam supaya tidak terjadi sepertimana Kristian yang mendewakan Nabi Isa AS.

Merubah strategi pentadbiran, strategi dan cara kerja bukan bermakna kita ingkar terhadap kepimpinan sebelum ini, tetapi itulah makna kita wala' terhadap tarbiyyah yang mereka ajarkan selama ini. Wala' diletak bukan kepada batang tubuh pimpinan dan tokoh semata-mata, tetapi untuk agama Allah jua. Ibnu Qayyim apabila dikritik kerana menyalahi pendapat gurunya Imam Ibnu Taimiyah, beliau berkata: Aku menyayangi Ibnu Taimiyah, tetapi kebenaran itu lebih aku sayangi daripada Ibnu Taimiyah.

TAKSUB - Pimpinan sendiri sebenarnya rimas dengan anak buah yang tidak kritis yang hanya tahu mengampu dan memuja tanpa menuang idea-idea segar yang boleh membantu mereka memajukan gerakan. Itu bukan taat namanya tapi taksub.

Kadang-kadang mereka tertekan dengan sikap anak buah yang ikut bulat-bulat apa sahaja mereka kata tanpa komen dan respon. Seolah-olah membiarkan mereka sendirian memegang payung Islam sedangkan yang lain hanya berlindung di balik payungannya. Letih.

Kata-kata seperti "sebelum ni buat macam ni" atau "ustaz tu suruh buat macam tu" atau "Orang dulu tak pernah buat macam ni" harus diminimakan dalam merencana sesuatu. Jika ingin nyatakan juga, datangkan illah dan sebab-sebabnya sekali bukan meniru buta. Belajar cara ulama mengkaji Tarikh Tasyrik sebelum meniru ijtihad terdahulu.

Kalau ianya hadis nabi sekalipun, ulama' tidak terus amalkan dengan zahir makna semata-mata. Asbab Wurudnya perlu dikaji, Nasikh Mansukhnya perlu dikaji, gaya bahasa arabnya perlu dikaji, dan waqi'nya juga perlu dikaji! Telusurilah disiplin Ulum Quran, Ulum Hadis dan Usul Fiqh sebelum beristinbat.

Kata Imam Syatibi : Beramal dengan zahir nas secara terlampau mengikut sahaja adalah jauh dari maksud syariat. Sebaliknya tidak mempedulikannya juga adalah suatu kecuaian. Revolusi dan inovasi adalah ajaran Islam. Barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang baik, maka untuknya pahala dan untuknya juga pahala orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat. Dan barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang tidak baik, maka untuknya dosa dan untuknya juga dosa orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.

WALA' -  Dalam menjunjung dasar baru, 7 perkara perlu diambil kira :

  1. Ikhlaskan niat sebelum berbicara. Jangan mengharap dari lontaran pendapat dan kritikan selain redha Allah dan kebaikan jemaah semata-mata bukan kerana kemasyhuran, kerana dibayar pihak tertentu atau kerana benci/marah/tidak puashati terhadap pihak lain.
  2. Al-Quran dan Hadis perlu menjadi pegangan utama agar tidak terbabas. Jangan rasa kita lebih bijak dari pencipta kita sendiri dan nabiNya. Hadis larangan mengada-adakan sesuatu yang bukan dari islam (bidaah) harus diteladani sekemasnya.
  3. Pengalaman dan pendapat orang dahulu perlu diteliti supaya kita tahu dari titik mana kita harus bermula. Jangan sampai mengulang-ulang kajian yang sudah diterokai dan ditemui jawapannya sejak lama dahulu. Membazir masa dan kurang faedahnya.
  4. Beradab dengan ulama'-ulama' lain yang lebih senior. Masing-masing bersungguh berijtihad untuk terus memajukan islam. Cara yang mereka guna adalah yang terbaik untuk zaman mereka. Alimnya kita hari ini pun kerana kesungguhan mereka memelihara agama supaya sampai ke generasi kita.
  5. Berani mengakui kesilapan. Sebagaimana kita berani mengkritik, harus juga berani untuk dikritik. Jangan taksub pada pendapat sendiri kerana semua manusia tidak sempurna. Tawadhu adalah sikap terbaik kerana kita berpendapat untuk mencari benar bukan mencari menang. Tazkiyah Nafs adalah ubat untuk membuang ego diri.
  6. Mentaati pimpinan selama tidak bercanggah dengan nas. Walaupun ruang perbincangan sentiasa dibuka, itu bukan bermaksud kita boleh menangguh arahan yang dikeluarkan kerana mudaratnya besar melebihi mudarat sekiranya ijtihad pimpinan itu salah. Bahkan, kesilapan sesebuah jemaah adalah hikmah terbesar dari Allah yang menginginkan sesuatu yang terbaik disebaliknya. 
    Ambil contoh Saidina Ali yang mulanya mempersoal kewajaran tahaluf siyasi antara muslimin dan musyrikin, tetapi akur setelah mengetahui bahawa ia adalah sebuah arahan. Lihat juga contoh Hubaib bin Munzir yang berbincang dengan baik arahan Nabi dalam perang Badr sehingga Nabi mengubah strategi asal untuk menuruti cadangan beliau. Fiqh Siasah harus dihadam rapi.
  7. Mengakui bahawa khilaf dalam berpendapat adalah lumrah hidup. Masing-masing ada pendapat dan bukan semua pendapat boleh disatukan. Jalan terbaik ialah menghormati pendapat masing-masing dan akur apabila pandangan kita belum diterima. Walaupun terbukti pandangan Saidina Umar lebih baik, beliau akur dengan keputusan nabi yang memilih pendapat Saidina Abu Bakar dalam beberapa peristiwa. Jika keputusan itu adalah keputusan kepimpinan jemaah, ia adalah yang paling tepat. Fiqh Harakah juga perlu terisi di ruang minda.
Sebagai konklusi, binalah akal dengan tapak akidah, syariat dan akhlak yang mantap terlebih dahulu sebelum membina idea yang mencakar langit. Muhasabah bersama demi menuju ke arah kebaikan.