Tuesday, June 10, 2014

Dakwah Islam Ada Strategi Tersendiri


Dalam Surah An-Nahl ayat 125 telah termaktub satu panduan kepada kita semua akan kaedah-kaedah dalam menyampaikan risalah Allah iaitu Islam :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”

Sesungguhnya segala perkhabaran dan percaturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Quran mempunyai hikmah dan keajaibanya tersendiri. Dalam konteks berdakwah, segala penyampaian itu bukanlah suatu seruan yang memaksa, tetapi suatu seruan yang akan membuka minda manusia untuk memilih jalan hitam mahupun jalan yang disinari cahaya hidayah.

Dalam melaksanakan seruan ini, perlu kepada panduan yang terperinci agar apa yang disampaikan itu tidak mengundang perkara yang tidak diingini. Disamping berbekalkan pengorbanan, semangat, ilmu serta niat yang mulia dalam penyebaran agama suci ini (Islam), seseorang daie (pendakwah) itu perlukan strategi dalam perlaksaannya. Panduan sudah tersedia dihadapan mata, hanya perlu sedikit sentuhan yang manis untuk menarik para mad‘u (sasaran dakwah) untuk lebih dekat kepada Islam sesuai dengan cara suasana serta pemikiran manusia masa kini. Hal ini adalah disebabkan kemajuan dunia semakin hari semakin pesat membangun bahkan pemikiran serta keintelektualan manusia semakin maju kehadapan memerlukan kepada penambahbaikkan dalam strategi perlaksanaan tersebut.

Islam bukan tersebar dengan mata pedang tetapi Islam itu disebarkan dengan kasih sayang. Utusan Allah (para nabi dan rasul) diutuskan ke dunia ini adalah kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang hampir ke kancah azab api neraka. Melalui ayat di atas, ternyata apa yang di ajarkan daripada para nabi dan rasul kepada kita telah mendatangkan impak yang besar terhadap perkembangan Islam. Dakwah Islam adalah memberi ruang dan peluang kepada non-Muslim khususnya untuk mengenali Islam dengan kondisi yang selamat agar sebarang khabar yang didengari oleh golongan mereka sebelum ini (Islam Is Terorrist) adalah palsu belaka.

Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
10 Jun 2014 / 8.30 PM

No comments:

Post a Comment