Assalamualaikum w.b.t
Sebelum ini tergempar satu tragedi yang menyayat hati semua pihak terutama masyarakat di Malaysia bilamana dikhabarkan akan kehilangan pesawat MH370 yang berakhir operasi pencariannya di Lautan Hindi. Usaha pencarian masih lagi diteruskan sehingga hari ini.
Pada hari ini, Malaysia digemparkan lagi dengan tragedi yang hampir kurang sama, apabila masyarakat Malaysia telah menerima berita pada tengah malam semalam, bahawa pesawat jenis Boieng 777 - MH17 terhempas di negara Ukraine bersempadan dengan negara Russia. Pesawat tersebut dipercayai ditembak jatuh oleh golongan pengganas dengan menggunakan peluru berpandu BUK LAUNCHER.
Menurut beberapa sumber, pesawat MH17 tersebut telah membawa 295 penumpang dan 15 krew bertugas dalam pesawat dikatakan berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Amsterdam pada jam 12.15 malam (waktu Malaysia) menuju ke Kuala Lumpur International Airport dan dijangka akan tiba di tanah air pada jam 6.10 pagi hari ini. Nahas yang berlaku telah menyebabkan keseluruhan penumpang dan krew yang bertugas dipercayai terbunuh.
Untuk itu, Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM mengucapkan takziah kepada waris-waris keluarga mangsa nahas MH17 diatas pemergian rakyat Malaysia khususnya yang terlibat dalam tragedi tersebut. Sesungguhnya percaturan Allah itu ada hikmahnya. Kami mendoakan agar roh-roh mereka ditempatkan dengan golongan yang beriman. InsyaAllah. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita dikembalikan. Semoga waris-waris ahli keluarga mangsa tabah dan redha akan qada dan qadar Allah.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM juga memohon agar Kerajaan Malaysia lebih teliti dalam menyiasat akan punca nahas berlaku agar peristiwa yang pernah berlaku dalam usaha pencarian MH370 sebelum ini tidak menimbulkan sebarang kontroversi yang mendatangkan kemarahan pelbagai pihak. Sungguhpun tragedi yang berlaku memungkinkan berlakunya konspirasi, diharapkan agar pihak Kerajaan Malaysia tidak menyembunyikan apa-apa maklumat berkaitan tragedi MH17 ini. Mudah-mudahan urusan dalam mencari bukti dan punca nahas berlaku dipermudahkan oleh Allah. InsyaAllah.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus istiqamah dalam memohon doa agar negara kita dihindari bala bencana serta sentiasa berada dibawah lindungan rahmat-Nya. Tidak dilupakan, seruan daripada kami juga, agar masyarakat Malaysia terus istiqamah mendoakan usaha pencarian MH370 berakhir dengan hasil yang baik serta mendoakan keselamatan saudara seagama kita yang ditindas oleh Zionist lakanatullah di Gaza-Palenstine.
- Bersama Mengizzahkan Islam -
Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
Yang Di Pertua
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:
Post a Comment