Wednesday, August 27, 2014

Kemerdekaan Yang Tertangguh


... Assalamualaikum w.b.t ...

Kita laung semangat merdeka! Suara hangat , suara semangat, suara keramat yang keluar dari jiwa yang merdeka. Zaman dahulu, nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar (getaran di jiwa) kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan?  Ada rasa terharu? Ada rasa bersyukur? Ada rasa bangga? Fikirkanlah dan jawab sendiri. Jadi berkaitan dengan topik kita hari ini, kita akan cuba merungkai beberapa perkara berkaitan dengan adakah jiwa kita merdeka yang menekankan kepada attitude remaja pada hari ini walaupun negara telah mencapai kemerdekaan 57 tahun lamanya. Ini boleh penulis katakan sebagai “Kemerdekaan Yang Tertangguh”.

57 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 57 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini gah di mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara negara jiran.Tetapi bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari waktu petang, tengah malam hingga dinihari?

Rentetan daripada sambutan seperti itu menyumbang kepada masalah sosial yang lebih kronik lagi seperti percampuran antara lelaki dengan perempuan yang akhirnya membawa kepada dosa zina, natijahnya mengandung di luar pernikahan, dan akibat ‘tak tahu nak buat apa’ akhirnya kandungan itu digugurkan atau dibiarkan mati dengan sendiri dengan cara membuang di merata tempat, seperti di bawah tangga, depan rumah orang, tepi longkang dan seumpamanya.Ini bukan tuduhan melulu, tapi realiti masalah sosial remaja masa kini. Contohnya Penganjuran Konsert Merdeka, pada dasarnya bertujuan memberikan kesedaran tentang erti kemerdekaan dan sedikit hiburan kepada warga kota sementara menunggu detik 12 malam 31 Ogos setiap tahun. Kesempatan ini diambil oleh mereka yang sanggup meluangkan masa bersesak di tapak konsert terutamanya para remaja. Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka adalah terdiri daripada remaja Melayu, lelaki dan perempuan.

Remaja Melayu khususnya gadis sudah tiada lagi segan silu memakai pakaian menjolok mata. Golongan seperti ini sudah tidak lagi segan silu berdakapan, berpeluk sambil berjalan atau sambil duduk sementara menanti detik 12 malam. Lebih mengejutkan remaja Melayu sudah tidak lagi segan silu membeli, membawa dan meminum minuman keras seperti beer sehingga ada yang mabuk di khalayak ramai. Tambah mengecewakan remaja Melayu terutamanya yang masih bersekolah tanpa segan silu menghisap rokok di khalayak ramai. 

Lihat sahajalah cara berpakaian anak-anak muda. Kita pasti akan menggelengkan kepala melihat fesyen pakaiandan gaya rambut mereka. Mereka seperti inikah bakal pemimpin yang akan menerajui Malaysia suatu hari nanti? Cuba tanyakan, apakah erti kemerdekaan kepada mereka? Apakah mereka ini benar-benar menyambut Merdeka atau sebenarnya mereka ini terlalu seronok dan ghairah, “merdeka” daripada kawalan ibu bapa dan “merdeka” daripada kewajipan menunaikan solat Asar, Maghrib & Isyak? penghayatan sebenarnya kurang atau langsung tidak ada!.

Oleh kerana kita dah lihat perkara-perkara yang kurang enak berlaku, jadi ada beberapa solusi yang boleh kita laksanakan untuk membendung perkara yang tidak diingini berlaku iaitu :

  1. Konsert yang mengundang kepada masalah sosial ditukar kepada malam penghayatan / majlis yang lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Cthnya : Qasidah, Solat Hajat …
  2. Pihak berkuasa seharusnya lebih aktif pada malam ambang kemerdekaan untuk membanteras gejala sosial yang melampau.
  3. Siaran media hendaklah memainkan peranan dalam menyiarkan media yang mempunyai unsur Islamik (seperti yang dilakukan semasa Hari Berkabung Nasional) disamping menyiarkan filem-filem kemerdekaan negara.
  4. Kempen kemerdekaan negara sebelum 31 Ogos diselitkan dengan mesej-mesej bahayanya gejala sosial terhadap masyarakat.
  5. Attitude diri sendiri haruslah diubah daripada negative kepada positif yang mendatangkan manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
  6. Gaya hidup hendaklah diubah dan bukan tunduk kepada fesyen barat. Wujudkan fesyen yang patuh syariah untuk diterapkan dan ditunjukkan kepada dunia, bahawa ini adalah prinsip kita yang tidak bercanggah dengan Islam.

Konklusinya, manusia punya hati, hati itu penuh dengan pelbagai rasa, rasa itu yang membuatkan manusia bertindak. Jadi, kesedaran dan perubahan yang ingin kita lakukan bermula dari diri kita sendiri, kemudian keluarga kepada masyarakat dan akhirnya akan membentuk sebuah negara contoh dimana kemerdekaannya bukan sahaja dapat dilihat dari segi kemerdekaan fizikal, malah kemerdekaan jiwa yang diselaputi dan diisi dengan kerohanian yang mantap. Maka, kemerdekaan yang tertangguh itu akan menjadi satu kemerdekaan yang tidak sia-sia.

Sumber Bacaan : - Laman Web Jakim
Editor : Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut

No comments:

Post a Comment