Bismillahirrahmanirrahim...
Segala
puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.. Tuhan yang menjadikan segala sesuatu dan
maha mengetahui segala sesuatu. Hari ini, jika kita bercakap mengenai dakwah,
semestinya setiap daripada kita membayangkan sesuatu yang sangat berat terpikul
di atas pundak kita. Ibarat seketul batu besar yang menghempap di atas bahu
yang terpaksa dipikul secara rela paksa.
Kadangkala,
apabila bercakap mengenai dakwah, ada pula yang beranggapan ianya hanyalah
tugas seorang ustaz ustazah yang mengaji atau belajar agama. Namun, pernah atau
tidak kita terfikir bahawa tugasan dakwah ini tugas semua umat islam, tugas
semua manusia yang bergelar islam? Ya. jika kita semua sebagai umat islam
berpegang kepada prinsip bahawa setiap umat islam itu wajib menyampaikan
dakwah, maka, tidak timbullah isu "ana bukan ustaz, ana tidak layak."
"Ana blajar kitab hadis 40 pun tak khatam lagi, macam mana nak dakwah
orang. "
Bukankah
Rasulullah pernah bersabda :
بَلِّغُوا عَنِّى
وَلَوْ آيَةً
Yang bermaksud 'sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat'. Hadis ini
menunjukkan bahawa sekiranya kita tahu berkenaan islam sedikit, maka
sebarkanlah sedikit, sekiranya kita tahu banyak, sebarkan sebanyak mana ilmu
yang kita ada. Sangat menarik sekiranya hadis tersebut digandingkan pula dengan
sepotong lahi hadis yang berbunyi :
طَلَبُ الْعِلْمِ
فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ وَمُسْلِمَةٍ
'menuntut ilmu adalah
wajib bagi setiap muslim'. Oleh itu, wajib bagi kita sebagai umat islam untuk
menuntut ilmu sebanyak mungkin,kemudian berusaha untuk menyampaikannya.
Ilmu
di sini tidak hanya difokuskan untuk ilmu agama sahaja, namun merangkumi
pelbagai jenis ilmu yang sangat meluas berkembang di atas muka bumi Allah ini. Islam
tidak pernah menyekat umatnya untuk maju
di dalam pelbagai bidang. Kesilapan kita umat islam adalah apabila kita
mencebur diri dalam bidang sains sebagai contohnya, kita tidak memanfaatkan
peluang yang kita ada sebagai ahli sains untuk menyebarkan dakwah.
Alangkah
ruginya kita apabila peluang yang terbuka luas ini dipersiakan. Tetapi,
alangkah indahnya sekiranya umat islam di serata dunia menguasai pelbagai
bidang ilmu dan pada masa yang sama mempunyai matlamat yang satu, iaitu untuk
menyebarkan dakwah islamiah. Adakah perkara ini mustahil? Tidak. Tidak sama
sekali ianya mustahil, hal ini kerana, ianya telah dibuktikan suatu masa dahulu
apabila umat islam dahulu telah berjaya menyebarkan Agama Allah ini ke serata
dunia sehinggakan berjaya menawan dua pertiga dunia.
Nama-nama
tokoh islam yang hebat seperti Sultan Muhammad al-Fateh, Ibn Sina,
al-Khawarizmi, Ibn al-Rusyd dan pelbagai lagi nama tokoh tokoh islam yang hebat
pernah menggegarkan dunia dengan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang. Allah,
sangat hebat, namun, perkara ini tidak mungkin terjadi tanpa adanya tarbiah
yang hebat dalam diri setiap umat islam pada masa itu.
Jadi,
apakah kita sebagai umat pada masa ini hanya perlu berdiam diri dan berbangga
dengan kejayaan umat terdahulu tanpa berusaha untuk menyambung perjuangan menyampaikan
dakwah islamiah ini? Tepuk dada, tanya iman.
Bagaimana
nak menyampaikan dakwah, nak mencegah kemungkaran? Saya tidak pandai. Bagaimana
nak menyampaikan dakwah nak mencegah kemungkaran? Saya bukan ustaz, bukan
ustazah, saya tiada kuasa, saya tidak mampu. Allah. bukankah sudah dijelaskan
bahawa islam itu indah? Sebelum kita berkata sedemikian, Rasulullah telahpun
memberikan jawapanya kepada kita.. Bagaimana? Melalui sepotong hadis :
Daripada Abu
Said al Khudri r.a. katanya :
Aku mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat
kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak
mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka
dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. (Hadis sahih riwayat Muslim)
Oleh
kerana itu, pentingya kita sebagai umat islam supaya menceburkan diri dalam
pelbagai bidang, jadilah orang yg berpengaruh di dalam setiap bidang yg kita
pilih, maka, secara tidak langsung kita berkuasa untuk berdakwah dan mencegah
kemungkaran melalui pelbagai cara termasuklah cara yang pertama atau kedua.
Namun, sekiranya kita tidak mampu untuk mencegah kemungkaran melalui kuasa dan
lisan, jangan tinggalkan terus tugasan dakwah ini, gunalah cara yang ketiga,
iaitu melalui hati. Namun, perlu diingatkan bahawa ianya selemah-lemah iman.
Adakah pilihan terakhir yg menjadi pilihan kita? Semuanya di tangan kita.
Akhir
kalam, jadilah kita manusia sebagaimana yang digariskan oleh Islam.
"Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia
lain". Jadilah kita manusia yang bermanfaat kepada orang lain, apabila
kita ada, kita dihargai, Apabila kita tiada, kita diingati. Ibarat biji benih
yang dicampak ke laut menjadi pulau dicampak ke daratan menjadi gunung.
Hani Syazwani Binti Aziz
Naib Yang Di Pertua 1
Persatuan MahasiswaFakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 2014/2015

No comments:
Post a Comment