Wednesday, September 17, 2014

Usia Muda Usah Di Sia-Siakan

Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat yang diberikan kepada kita, nikmat kehidupan, kesihatan, iman dan Islam. Mana mungkin dapat kita kecapi nikmat-nikmat ini melainkan dengan keizinan dan kekuasaan Allah S.W.T. Sebagai hamba dan khalifah di bumi, sudah pasti pengabdian diri kepada Allah suatu yang utama. Segala pekerjaan dan tindakan adalah untuk mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.
Justeru dalam hidup seorang muslim, perlunya ada rasa ingin berlumba dalam membuat kebaikan. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 148 : “Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan.” Di saat Allah masih menganugerahkan pada kita nikmat kesihatan, masa serta umur yang masih muda peluang inilah yang harus dimanfaatkan dengan perkara-perkara yang baik. Sebagai contoh sebagai hamba, selalu bermuhasabah diri dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah di dalam senang mahupun susah. Nikmatnya sangat terasa bila mana kita sentiasa dekat pada-Nya. Apabila ditimpa kesusahan sentiasa bersabar, bila diberi kesenangan sentiasa bersyukur.
Dengan kesempatan umur yang masih muda, sebagai mahasiswa hendaklah berlumba-lumba mencari ilmu, dan suburkan semangat cintakan ilmu dalam diri kerana ilmu itu penyuluh kehidupan. Terus jua melangkah sebagai orang yang dititipkan amanah, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.  Di dalam surah Al-Mu’minun ayat 61, Allah S.W.T menyebut bahawa ciri-ciri orang yang takut kepada azab Allah ialah bersegera dalam membuat kebaikan.
Dalam kehidupan bermasyarakat, akhlak dan adab yang sopan menjadi penguat silaturrahim. Andai terdapat kekhilafan, saling menegur dan memberi nasihat kerana manusia itu tidak terlepas dari berbuat salah. Hidupl sebagai seseorang yang dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Segalanya datang dari hati, andai bersih hati, kebaikan budi dan keindahan pekerti pasti mengiringi.
Dalam membuat kebaikan, sudah tentu kita tidak terlepas dari pelbagai ujian. Ujian inilah yang menguji takat keimanan dan kebergantungan kita kepada Allah. Walau apapun, terus senyum menyebar kebaikan, bukan sahaja dengan kata-kata, tapi praktikkan dalam amalan harian, kerana dakwah melalui perbuatan itu lebih memberi kesan dan menjadi ikutan. Saling menegur  dan mengingatkan antara kita.. Moga Allah redha.

Nasibah binti Ahmad Najib
Timbalan Bendahari  
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 2014/2015

No comments:

Post a Comment