Monday, April 6, 2015

Thanks Because Bring Love In Our Friendship



Assalamualaikum dunia ... 

Bicara aku bermula dengan madah yang kaya dengan budi bahasa.

Aku yakin dan percaya, since 2 April 2015 ramai abang-abang, kakak-kakak, mak cik, pak cik race atas jalanraya menuju ke pawagam dek kerana aura FF7, termasuklah aku yang bergegas ramp motosikal ala-ala riders / bikers padahal naik EX5 yang tunggu masa nak lingkup saja lagi. Port lepak aku adalah di Alamanda. Tiket bapak mahal (normal) tapi nasib aku yang masih bergelar mahasiswa dapat potongan harga baik punya, tunjuk kd pelajar, so RM 10 tu boleh balik baki dalam RM 2.

So, dipendekkan cerita, aku layan movie yang berdurasi kira-kira 2 jam tu dengan mendongak kepala melangit tinggi sikit (sebab seat aku paling depan - sakit tengkok beb). Permulaan cerita memang gempak dengan aksi-aksi yang buatkan aku balik hostle cuci mata dengan air Yasin (air yang biasa orang kampung letak tengah-tengah bulatan gembira malam Jumaat di surau / masjid). Tapi itu bukan yang aku nak sentuh dalam story telling kali ni. 

Yang aku nak sentuh is about friendship, blood brother, family, team work, (bajet cakap Inggeris supaya orang nampak macam educated sikit) dan wala' (taat setia). Itulah nilai-nilai yang boleh aku grab sepanjang movie Fast Farious 1 - 7 ni. Ending movie yang paling touching dalam movie ala-ala gengster macam ni. Tak semua movie mampu bagi best ending beb. Tapi ini the best among the best.

Pada aku nilai seorang sahabat / kawan atau aku istilahkan brader, jangan pernah ko sia-siakan. Tambah-tambah kawan yang pernah hadir dalam hidup ko tu dah guide ko ke arah yang Tuhan redha. Kalau dia bawa ko ke arah memang mintak azab, tugas ko la betulkan dia. Jangan ko nak kutuk-kutuk dia beb. Dia manusia, tak semua manusia tu baik dan tak semua manusia tu jahat. Masing-masing pernah buat dosa. Cari jalan balik bertaubat. Simple life but penuh dengan ibrah.

Life sebagai seorang mahasiswa yang dikelilingi oleh mahasiswa lain a.k.a brader selama 3 tahun sampai satu tahap ko boleh tahu dia suka apa dan tak suka apa tu paling rare. Because saat begini ko akan rasa ko ada one big family. Those who have family, takkan sampai tahap nak merosakkan family kan. Yang merosakkan family we should call "......" (depend on your own word). Macam tu jugak dengan brader. Dan, we as person who have iman in our heart / soul, siapa pun brader kita, accept him, teach him, bring him to God, untill we all meet in Jannah. InsyaAllah.

- Thanks because bring love in our friendship -
(aku sebat ayat Dominic sebab sangat-sangat bermaksud)

Monday, February 16, 2015

Formula 6M Menjamin Kualiti Seorang Pekerja


Assalamualaikum ... 


Suka penulis ingin kongsikan bersama pembaca mengenai formula 6M dalam menjami kualiti seorang pekerja sama ada anda adalah pekerja atasan mahupun pekerja bawahan. Selamat beramal dengannya. Mudah-mudahan pekerjaan yang kita lakukan itu diterima sebagai ibadah oleh Allah S.W.T. InsyaAllah.


Musyaratah (Penetapan Syarat)

Musyaratah sebagai peringkat pertama adalah penetapan syarat bagi diri sendiri. Akal harus membuat pensyaratan dengan jiwa, memberikan pelbagai tugas, menetapkan beberapa syarat. Seseorang yang ingin melakukan riyadah (latihan) harus menetapkan syarat-syarat bagi dirinya yang harus dipenuhi dan dilaksanakannya iaitu mengisi hari dan waktunya dengan perkara-perkara berfaedah dan menjauhkan dosa-dosa besar dan kecil. Di tangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan soleh  manakala merosakkan diri dan hati adalah dengan maksiat dan kejahatan.

Muraqabah (Pengawasan)

Langkah seterusnya setelah penetapan syarat ialah muraqabah, iaitu pengawasan diri dengan keyakinan bahawa Allah SWT melihat semua yang dikerjakan seseorang. al-Ghazali (1999) mentakrifkan muraqabah sebagai “suatu sikap hati merasa terus-menerus diawasi oleh Tuhan Yang Maha Mengawasi, dan segala perhatian tercurahkan sepenuhnya kepada Sang Maha Pengawas itu”.

Dalam erti kata lain, muraqabah ialah kesedaran seseorang bahawa diri dan peribadinya senantiasa dalam pengawasan dan pengamatan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Mengawasi segala sesuatu.

Muhasabah (Melihat Ke Dalam Diri)

Muhasabah ertinya menghitung diri, atau melakukan introspeksi terhadap seluruh apa (ucapan atau perbuatan lahir mahupun batin). Seterusnya memperhitungkan untung rugi dalam melakukan amal bagi diri sendiri. Muhasabah dilakukan untuk mengetahui kesalahan-kesalahan yang dilakukan sehingga timbul kesedaran dalam diri untuk melakukan mu’aqabah an-nafs iaitu menghukum diri sendiri.

Mu’aqabah (Menghukum Diri)

Peringkat seterusnya setelah muhasabah ialah mu’aqabah iaitu dengan menghukum diri sendiri. Mu’aqabah berasal daripada perkataan arab ‘iqab yang beerti denda. Mu’aqabah an-nafs dilakukan sesuai keperluan latihan anggota tubuh, misalnya apabila seorang sufi makan makanan yang syubhat (meragukan) dengan penuh hawa nafsu, ia menghukum perutnya dengan menahan lapar beberapa waktu lamanya atau apabila matanya melihat yang haram maka dihukum matanya itu dengan disiksanya dengan tidak melihat apa-apa dalam beberapa waktu. Oleh itu, dapat difahami bahawa konsep mu’aqabah ini ialah menghukum atau mendenda diri disebabkan kesalahan yang dilakukan dengan meningkatkan amal kebaikan.

Mujahadah (Bersungguh-Sungguh)

Apabila seorang hamba menghisab dirinya lalu ia melihat bahawa ia melakukan maksiat, seharusnya dia menghukum dirinya dengan pelbagai hukuman sebagai hukuman atas kelalaiannya dan jika ia melihat bahawa dirinya agak bermalas-malasan melaksanakan kebaikan atau wirid yang telah ia biasakan maka seharusnya ia mendidik dirinya itu dengan menambah beban wiridnya dan mendisiplinkan berbagai ibadah untuk menambah apa yang ditinggalkannya dan dilalaikan waktu.

Mu’atabah (Mencela Diri)

Mu’atabah ialah satu proses penginsafan diri dan perlakuan manusia. Ia adalah peringkat yang lebih tinggi dari muhasabah. Ia merupakan satu sikap pencelaan terhadap sikap yang buruk. Proses mu’atabah boleh dilakukan dengan mempertingkatkan diri secara syakhsiah, akan keburukan diri disebabkan oleh sikap yang lagi hina. Proses mu’atabah ini mampu menghalang dan menghapuskan segala sikap yang buruk dan negatif.

Kesimpulannya ... 

Di dalam bidang pengurusan Islam banyak mengaitkan aspek iman, akhlak dan jiwa yang bersih dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang pekerja, majikan, pengurus mahupun pemimpin dalam sebuah organisasi atau masyarakat. Pengurusan jiwa manusia merupakan aspek penting dalam pengurusan kerana ia mampu menjadi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang di hadapi dalam pengurusan organisasi seperti berlakunya penyelewengan, ketidaktelusan, rasuah dan juga prestasi kerja yang buruk. 

Oleh itu, Islam mengajarkan umatnya menjalani proses intrispeksi diri bukan sahaja sebagai hamba Allah s.w.t tetapi menilai diri dalam bidang pekerjaan. Penialaian ini juga seharusnya dijalani dengan mengaplikasikan formula- formula yang diajar Islam agar ia tidak hanya proses introspeksi yang biasa tapi suatu proses yang mampu meningkatkan prestasi diri sebagai pekerja dan sekaligus sebagai hamba Allah S.W.T.

Melalui pengaplikasi formula 6M iaitu musyaratah, muraqabah, muhasabah, mu’aqadah, mujahadah dan mu’atabah sebagai proses introspeksi diri manusia mampu memastikan matlamat penilaian diri itu tercapai. Manakala hasil introspeksi itu sangat tulus dan mampu digunakan sebagai pemangkin kepada penambahbaikan seorang pekerja terhadap prestasi diri agar mampu menjadi pekerja yang cemerlang di dunia dan juga akhirat. 


Sunday, February 15, 2015

Belangsungkawa Murabbi Ummah


Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali. Tidak dapat terungkap dengan kata-kata. Jantung bagai ditusuk pedang yang tajam. Suasana hiba menyelubungi hati dan jiwa. Tanggal 12 Februari 2015, Khamis malam Jumaat, sekitar jam 9.40 malam, Malaysia umumnya, umat Islam Malaysia seluruhnya telah kehilangan seorang lagi permata agama pergi menyambut seruan Ilahi buat selamanya iaitu Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. 

Suasana pada ketika itu, sungguh hiba kerana hilangnya seorang insan yang memberi impak dalam jiwa masyarakat, baik Muslim mahupun bukan Islam. Hati dan jiwa mana yang tidak runtuh apabila kehilangan seorang insan yang digelar sebagai Murabbi Ummah yang disayangi bahkan dicintai. Insan ini telah berjaya menawan jiwa dan raga seluruh lapisan masyarakat dengan prilaku dan contoh tauladan yang baik. Hatta, di medan politik, allahyarham adalah seorang lagenda dan ikon dalam penyatuan ummah sejagat. Apakan daya, Allah lebih menyayanginya.

Bilamana berbicara soal perjuangan, ternyata sekali beliau sentiasa tabah, thabat dan kuat mengharungi liku-liku yang cuba menghalangnya dari mencapai sesuatu perkara. Jiwa sebagai seorang pendakwah, jiwa sebagai seorang pejuang, telah menjadi motivasi kepada ummah sejagat dalam meniti perjuangan hidup yang pelbagai ragam. Perjuangan allahyarham bukan semata-mata mahukan kemenangan, tetapi kerana satu prinsip dimana Islam itu harus berdiri tegak di atas muka bumi Allah.

Ambillah ibrah daripada perjalanan hidup seorang Murabbi Ummah ini sebagai salah satu panduan yang dekat dengan hati dan jiwa kita untuk menjadi seorang insan yang mulia disisi Allah dan juga mulia disisi manusia.

Al-Fatihah ...

- Muhammad Hafiz Aizat | 15 Februari 2015 | 8.26 PM  -


Sunday, February 1, 2015

Hasil Tugasan Teknologi Maklumat Dakwah

Antara hasil tugasan bagi subjek Teknologi Maklumat Dakwah , Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.