Assalamualaikum ...
Suka penulis ingin kongsikan bersama pembaca mengenai formula 6M dalam menjami kualiti seorang pekerja sama ada anda adalah pekerja atasan mahupun pekerja bawahan. Selamat beramal dengannya. Mudah-mudahan pekerjaan yang kita lakukan itu diterima sebagai ibadah oleh Allah S.W.T. InsyaAllah.
Musyaratah (Penetapan Syarat)
Musyaratah sebagai peringkat pertama adalah
penetapan syarat bagi diri sendiri. Akal harus membuat pensyaratan dengan jiwa,
memberikan pelbagai tugas, menetapkan beberapa syarat. Seseorang yang ingin
melakukan riyadah (latihan) harus menetapkan syarat-syarat bagi dirinya yang
harus dipenuhi dan dilaksanakannya iaitu mengisi hari dan waktunya dengan
perkara-perkara berfaedah dan menjauhkan dosa-dosa besar dan kecil. Di tangan
kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri
adalah dengan amalan soleh manakala
merosakkan diri dan hati adalah dengan maksiat dan kejahatan.
Muraqabah (Pengawasan)
Langkah seterusnya
setelah penetapan syarat ialah muraqabah, iaitu pengawasan diri dengan
keyakinan bahawa Allah SWT melihat semua yang dikerjakan seseorang. al-Ghazali
(1999) mentakrifkan muraqabah sebagai “suatu sikap hati merasa
terus-menerus diawasi oleh Tuhan Yang Maha Mengawasi, dan segala perhatian
tercurahkan sepenuhnya kepada Sang Maha Pengawas itu”.
Dalam erti kata lain, muraqabah ialah kesedaran seseorang bahawa
diri dan peribadinya senantiasa dalam pengawasan dan pengamatan Allah SWT yang
Maha Mengetahui dan Maha Mengawasi segala sesuatu.
Muhasabah (Melihat Ke
Dalam Diri)
Muhasabah ertinya
menghitung diri, atau melakukan introspeksi terhadap seluruh apa (ucapan atau
perbuatan lahir mahupun batin). Seterusnya memperhitungkan untung rugi dalam
melakukan amal bagi diri sendiri. Muhasabah dilakukan untuk mengetahui
kesalahan-kesalahan yang dilakukan sehingga timbul kesedaran dalam diri untuk
melakukan mu’aqabah an-nafs iaitu menghukum diri sendiri.
Mu’aqabah (Menghukum
Diri)
Peringkat seterusnya
setelah muhasabah ialah mu’aqabah iaitu dengan menghukum diri sendiri.
Mu’aqabah berasal daripada perkataan arab ‘iqab yang beerti denda. Mu’aqabah
an-nafs dilakukan sesuai keperluan latihan anggota tubuh, misalnya apabila
seorang sufi makan makanan yang syubhat (meragukan) dengan penuh hawa nafsu, ia
menghukum perutnya dengan menahan lapar beberapa waktu lamanya atau apabila
matanya melihat yang haram maka dihukum matanya itu dengan disiksanya dengan
tidak melihat apa-apa dalam beberapa waktu. Oleh itu, dapat difahami bahawa konsep mu’aqabah ini ialah menghukum
atau mendenda diri disebabkan kesalahan yang dilakukan dengan meningkatkan amal
kebaikan.
Mujahadah (Bersungguh-Sungguh)
Apabila seorang hamba menghisab dirinya lalu ia melihat bahawa ia melakukan
maksiat, seharusnya dia menghukum dirinya dengan pelbagai hukuman sebagai
hukuman atas kelalaiannya dan jika ia melihat bahawa dirinya agak
bermalas-malasan melaksanakan kebaikan atau wirid yang telah ia biasakan maka
seharusnya ia mendidik dirinya itu dengan menambah beban wiridnya dan mendisiplinkan
berbagai ibadah untuk menambah apa yang ditinggalkannya dan dilalaikan waktu.
Mu’atabah (Mencela Diri)
Mu’atabah ialah satu proses penginsafan
diri dan perlakuan manusia. Ia adalah peringkat yang lebih tinggi dari
muhasabah. Ia merupakan satu sikap pencelaan terhadap sikap yang buruk. Proses mu’atabah
boleh dilakukan dengan mempertingkatkan diri secara syakhsiah, akan
keburukan diri disebabkan oleh sikap yang lagi hina. Proses mu’atabah ini
mampu menghalang dan menghapuskan segala sikap yang buruk dan negatif.
Kesimpulannya ...
Di dalam bidang pengurusan Islam banyak mengaitkan aspek
iman, akhlak dan jiwa yang bersih dalam menjalani tanggungjawab sebagai seorang
pekerja, majikan, pengurus mahupun pemimpin dalam sebuah organisasi atau
masyarakat. Pengurusan jiwa manusia merupakan aspek penting dalam pengurusan
kerana ia mampu menjadi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang di
hadapi dalam pengurusan organisasi seperti berlakunya penyelewengan,
ketidaktelusan, rasuah dan juga prestasi kerja yang buruk.
Oleh itu,
Islam mengajarkan umatnya menjalani proses intrispeksi diri bukan sahaja
sebagai hamba Allah s.w.t tetapi menilai diri dalam bidang pekerjaan.
Penialaian ini juga seharusnya dijalani dengan mengaplikasikan formula- formula
yang diajar Islam agar ia tidak hanya proses introspeksi yang biasa tapi suatu
proses yang mampu meningkatkan prestasi diri sebagai pekerja dan sekaligus
sebagai hamba Allah S.W.T.
Melalui
pengaplikasi formula 6M iaitu
musyaratah, muraqabah, muhasabah, mu’aqadah, mujahadah dan mu’atabah sebagai
proses introspeksi diri manusia mampu memastikan matlamat penilaian diri itu
tercapai. Manakala hasil introspeksi itu sangat tulus dan mampu digunakan
sebagai pemangkin kepada penambahbaikan seorang pekerja terhadap prestasi diri
agar mampu menjadi pekerja yang cemerlang di dunia dan juga akhirat.






