Wednesday, August 27, 2014

Kemerdekaan Yang Tertangguh


... Assalamualaikum w.b.t ...

Kita laung semangat merdeka! Suara hangat , suara semangat, suara keramat yang keluar dari jiwa yang merdeka. Zaman dahulu, nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar (getaran di jiwa) kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan?  Ada rasa terharu? Ada rasa bersyukur? Ada rasa bangga? Fikirkanlah dan jawab sendiri. Jadi berkaitan dengan topik kita hari ini, kita akan cuba merungkai beberapa perkara berkaitan dengan adakah jiwa kita merdeka yang menekankan kepada attitude remaja pada hari ini walaupun negara telah mencapai kemerdekaan 57 tahun lamanya. Ini boleh penulis katakan sebagai “Kemerdekaan Yang Tertangguh”.

57 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 57 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini gah di mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara negara jiran.Tetapi bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari waktu petang, tengah malam hingga dinihari?

Rentetan daripada sambutan seperti itu menyumbang kepada masalah sosial yang lebih kronik lagi seperti percampuran antara lelaki dengan perempuan yang akhirnya membawa kepada dosa zina, natijahnya mengandung di luar pernikahan, dan akibat ‘tak tahu nak buat apa’ akhirnya kandungan itu digugurkan atau dibiarkan mati dengan sendiri dengan cara membuang di merata tempat, seperti di bawah tangga, depan rumah orang, tepi longkang dan seumpamanya.Ini bukan tuduhan melulu, tapi realiti masalah sosial remaja masa kini. Contohnya Penganjuran Konsert Merdeka, pada dasarnya bertujuan memberikan kesedaran tentang erti kemerdekaan dan sedikit hiburan kepada warga kota sementara menunggu detik 12 malam 31 Ogos setiap tahun. Kesempatan ini diambil oleh mereka yang sanggup meluangkan masa bersesak di tapak konsert terutamanya para remaja. Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka adalah terdiri daripada remaja Melayu, lelaki dan perempuan.

Remaja Melayu khususnya gadis sudah tiada lagi segan silu memakai pakaian menjolok mata. Golongan seperti ini sudah tidak lagi segan silu berdakapan, berpeluk sambil berjalan atau sambil duduk sementara menanti detik 12 malam. Lebih mengejutkan remaja Melayu sudah tidak lagi segan silu membeli, membawa dan meminum minuman keras seperti beer sehingga ada yang mabuk di khalayak ramai. Tambah mengecewakan remaja Melayu terutamanya yang masih bersekolah tanpa segan silu menghisap rokok di khalayak ramai. 

Lihat sahajalah cara berpakaian anak-anak muda. Kita pasti akan menggelengkan kepala melihat fesyen pakaiandan gaya rambut mereka. Mereka seperti inikah bakal pemimpin yang akan menerajui Malaysia suatu hari nanti? Cuba tanyakan, apakah erti kemerdekaan kepada mereka? Apakah mereka ini benar-benar menyambut Merdeka atau sebenarnya mereka ini terlalu seronok dan ghairah, “merdeka” daripada kawalan ibu bapa dan “merdeka” daripada kewajipan menunaikan solat Asar, Maghrib & Isyak? penghayatan sebenarnya kurang atau langsung tidak ada!.

Oleh kerana kita dah lihat perkara-perkara yang kurang enak berlaku, jadi ada beberapa solusi yang boleh kita laksanakan untuk membendung perkara yang tidak diingini berlaku iaitu :

  1. Konsert yang mengundang kepada masalah sosial ditukar kepada malam penghayatan / majlis yang lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Cthnya : Qasidah, Solat Hajat …
  2. Pihak berkuasa seharusnya lebih aktif pada malam ambang kemerdekaan untuk membanteras gejala sosial yang melampau.
  3. Siaran media hendaklah memainkan peranan dalam menyiarkan media yang mempunyai unsur Islamik (seperti yang dilakukan semasa Hari Berkabung Nasional) disamping menyiarkan filem-filem kemerdekaan negara.
  4. Kempen kemerdekaan negara sebelum 31 Ogos diselitkan dengan mesej-mesej bahayanya gejala sosial terhadap masyarakat.
  5. Attitude diri sendiri haruslah diubah daripada negative kepada positif yang mendatangkan manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
  6. Gaya hidup hendaklah diubah dan bukan tunduk kepada fesyen barat. Wujudkan fesyen yang patuh syariah untuk diterapkan dan ditunjukkan kepada dunia, bahawa ini adalah prinsip kita yang tidak bercanggah dengan Islam.

Konklusinya, manusia punya hati, hati itu penuh dengan pelbagai rasa, rasa itu yang membuatkan manusia bertindak. Jadi, kesedaran dan perubahan yang ingin kita lakukan bermula dari diri kita sendiri, kemudian keluarga kepada masyarakat dan akhirnya akan membentuk sebuah negara contoh dimana kemerdekaannya bukan sahaja dapat dilihat dari segi kemerdekaan fizikal, malah kemerdekaan jiwa yang diselaputi dan diisi dengan kerohanian yang mantap. Maka, kemerdekaan yang tertangguh itu akan menjadi satu kemerdekaan yang tidak sia-sia.

Sumber Bacaan : - Laman Web Jakim
Editor : Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut

Monday, August 25, 2014

Rukun Islam Di Sebalik Unity Of Ummah


Assalamualaikum.

InsyaAllah, pada coretan kali ini kita akan cuba merungkai perkara-perkara tersurat mahupun tersirat disebalik Rukun Islam terhadap suatu perkara yang menekankan aspek penyatuan ataupun boleh disebut sebagai Unity Of Ummah. Sebelum melanjutkan bicara, segala coretan ini adalah sekadar pandangan atau kata orang muda yang lahir dari hati dan difikirkan akan ada kebenarannya secara logik akal untuk disampaikan kepada pembaca.

Kita sedia maklum especially sebagai seorang Islam akan Rukun Islam yang diajari, dipelajari malah kita dididik untuk menghafal Rukun Islam (The Pillar Of Islam) tersebut. Rukun Islam punyai 5 perkara iaitu : 

1. Mengucap 2 kalimah syahadah (say two sentenses confession) 
2. Mendirikan solat fardhu 5 kali sehari semalam (establish praying)
3. Berpuasa di bulan Ramadhan (fasting in the month of Ramadhan)
4. Menunaikan zakat (give charity)
5. Menunaikan haji bagi yang mampu (a pilgrimage for those who are able)

Kelima-lima perkara dalam Rukun Islam ini adalah antara yang membezakan seseorang yang bergelar MUSLIM dengan seseorang yang NON-MUSLIM. Alhamdulillah, secara hakikinya, setakat ini tiada orang Islam yang tiada 5 perkara ini dalam kehidupannya. Tapi apakah Rukun Islam hanya sekadar rukun semata-mata?

Sebenarnya tidak , kerana Rukun Islam bukan sekadar rukun tetapi kita perlu memikirkannya diluar kebiasaan kita berfikir (think out of box) apakah hikmah di sebalik Islam menetapkan 5 rukun tersebut kepada individu yang bergelar Islam. Kita akan nampak bilamana kita meletakkan rukun ini dengan beberapa perkara. Jadi, penulis ingin membawa pembaca kaitan antara Rukun Islam dengan Unity Of Ummah secara satu persatu.

Mengucap Dua Kalimah Syahadah

Dengan satu lafaz dua kalimah syahadah boleh menyatukan orang yang berada di utara, selatan, timur dan barat dibawah satu panji iaitu ISLAM. Sesungguhnya umat Islam itu adalah bersaudara. Bukan kerana kasta, bahasa, budaya mahupun bangsa, tetapi dengan Islam, umat manusia adalah satu. Menyembah Allah yang Maha Esa. Tiada dua mahupun tiga, yang ada hanyalah Allah yang Esa. Menyembah sujud ke arah satu tempat yang sama. Atas nama Islam, walaupun tidak pernah berjumpa atau berbual, kita tetap bersaudara walaupun lahir dari perut ibu yang tidak sama.

Mendirikan Solat Fardhu 5 Waktu Sehari Semalam

Dalam menunaikan Islam, mendirikan solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara berjemaah adalah sangat dituntut berbanding dengan solat bersendirian. Pernah kita dengar, sekiranya menunaikan solat secara berjemaah akan dilipat gandakan pahalanya sebanyak 27 kali ganda berbanding dengan solat bersendirian. Analoginya, sekiranya Allah menetapkan bahawa solat itu kita dapat RM27 secara berjemaah dan RM1 secara sendirian, mana yang kita akan pilih? Jawapan itu ada pada pembaca masing-masing. Jadi mengapa secara berjemaah lebih menguntungkan? Ketepikan soal sains dan sebagainya, kita fokus kepada The Unity Of Ummah. Ya, dengan berjemaah kita akan bersatu. Solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara berjemaah mampu mendidik kita untuk bersatu. Dalam apa perkara sekalipun, melakukannya secara berjemaah adalah lebih menguntungkan. Contohnya dalam sebuah organisasi dakwah, dakwah fardhiyah atau dakwah jam'ieah lebih berkesan? Tentunya jam'ieah walaupun kadangkala memerlukan kepada fardhiyah. Kerana secara berjemaah, segalanya menjadi mudah bahkan memupuk semangat bekerjasama. Bahkan president Israel pernah berkata : "Aku akan takut sekiranya umat Islam mendirikan solat Subuh secara berjemaah". Apa yang beliau nampak tentang hal demikian? Tentulah kesatuan dalam umat Islam.

Berpuasa Dalam Bulan Ramadhan

Telah diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan sepertimana telah difardhukan kepada umat terdahulu. Untuk apa Allah mensyariatkan kepada kita berpuasa? Apakah hikmah disebaliknya? Kita di Malaysia khususnya boleh dikatakan tidak pernah mengalami kemarau berpanjangan. Adapun kemarau berlaku dengan izin Allah, kita masih mampu untuk menjamah makanan. Tetapi, pernah kita fikir akan saudara kita yang tidak bernasib baik yang berada di Afrika, India dan sebagainya. Mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan adakala dikais banyak kali pun, belum tentu dapat menampung kehidupan seharian mereka. Jadi inilah hikmah berpuasa, agar kita merasakan betapa peritnya kehidupan saudara kita yang tidak bernasib baik ini. Bilamana timbul perasaan kasihan akan mereka, nescaya terdetik rasa ingin membantu. Dan bantuan kepada mereka itulah dipanggil kesatuan.

Menunaikan Zakat

Perkara ini merupakan rentetan daripada perasaan yang timbul untuk membantu saudara kita yang tidak bernasib baik. Bahkan kita di Malaysia rata-rata dikelaskan berpendapatan tinggi. Bila berpendapatan tinggi, kita akan mengeluarkan zakat. Untuk apa zakat itu? Semestinya untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Dengan usaha untuk mengumpulkan zakat ini, sekurang-kurangnya saudara kita yang tidak bernasib baik itu dapat merasai kehidupan yang sempurna seperti kita sekarang. Maksudnya, tempat tinggal ada, makanan cukup, pakaian ada, pendidikan diberikan dan sebagainya.

Menunaikan Haji

Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota bagi jemaah haji setiap negara. Semestinya semua orang dapat merasai dan menunaikan haji. Gambaran haji boleh dikatakan sebagai perhimpunan besar umat Islam di Makkah al-Mukaramah. Bahkan pakaian yang dipakai kita ketika haji adalah berwarna putih. Disini ingin dinyatakan bahawa, haji adalah gambaran realiti bahawa umat Islam bersatu. Tidak kira warna kulit, darjat dan sebagainya, di Makkah kita semua adalah serupa dan kita adalah saudara. Orang yang kita anggap saudara seagama, kita akan bertemu disana. Pernah disebut-sebut saudara seagama seantero dunia, akan berkumpul disana. Jauh mana pun kita berada, dengan platform haji yang telah disyariatkan dalam Islam, kita bersatu, bersujud kearah satu kiblat yang sama.

Wallahu'alam. Mudah-mudahan bahan ini dapat diambil manfaat bahawa rukun Islam bukan sekadar rukun, tetapi perlu dihayati dan difikirkan diluar kebiasaan pemikiran kita. InsyaAllah, yang baik itu daripada Allah, yang kurang itu disandarkan kepada jiwa penulis sebagai seorang hamba Allah.

Penulis, 
Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
11.42 Pagi / 25 Ogos 2014  
Student FPI, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2012-2015

Thursday, August 21, 2014

Pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Sesi 14/15


Assalamualaikum.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) merupakan badan induk pra-siswazah di Fakulti Pengajian Islam. Jadi, PMFPI ini menaungi beberapa kelab-kelab jabatan yang terdapat di fakulti ini. Kelab-kelab jabatan yang dikatakan itu adalah seperti berikut :
1. Kelab Jabatan Dakwah dan Kepimpinan (JAKMA)
2. Kelab Jabatan Usuluddin dan Falsafah (Kufah)
3. Kelab Jabatan Syariah dan Undang-Undang (Hujjah)
4. Kelab Jabatan Arab dan Tamadun (Nahdah)
5. Kelab Jabatan Al-Quran dan As-Sunnah (Jannah)

Kesemua kelab-kelab jabatan ini merupakan alternatif pecahan-pecahan kos yang terdapat di fakulti pengajian Islam yang membantu dan bersama PMFPI dalam melaksanakan gerak kerja persatuan. Sebagai tambahan, kekuatan jentera persatuan induk (PMFPI) ini adalah seramai 26 orang iaitu 12 pimpinan muslimin dan 14 pimpinan muslimat. Bagi sesi kali ini, pimpinan PMFPI telah bersetuju untuk menggunakan tagline "Bersama Meng'izzahkan Islam" serasi dengan pembawakan dasar 4K iaitu :

1. Kepatuhan.
2. Kebersamaan.
3. Keintelektualan.
4. Kebajikan.

Bahkan PMFPI kali ini juga punyai visi dan misi tersendiri yang diwarisi sejak saf kepimpinan PMFPI sesi 13/14 iaitu :

VISI
Merealisasikan Islam sebagai al-Din UKM dan masyarakat.

MISI
Memperkasakan Biah Solehah dari segenap aspek di FPI berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

InsyaAllah, pihak PMFPI juga telah merencanakan pelbagai aktiviti dan program untuk seluruh mahasiswa fakulti selari dengan visi, misi serta pembawakan dasar 4K ini.

- Bersama Mengizzahkan Islam -

Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
Yang Dipertua,
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
Sesi 2014 / 2015.

Petikan Statement Gaza Kembali Berdarah (Pimpinan PMFPI Sesi 14/15)


Assalamualaikum w.b.t
Tragedi berdarah kembali menghantui dan selubungi saudara se-Islam kita di Gaza apabila tentera Israel laknatullah mula mengganas menyerang mereka dengan 1000 bedilan roket pemusnah melalui darat, udara dan laut.
Tanpa sifat perikemanusiaan, tentera Israel telah mengepung Gaza yang mengakibatkan 100 orang telah terbunuh setakat 12 Julai 2014 kelmarin, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Hal yang demikian, Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM, menggesa dan menyeru pihak Kerajaan Malaysia serta masyarakat seluruhnya untuk berganding bahu menyalurkan bantuan kepada masyarakat di Gaza dengan apa jua cara sekalipun atas dasar kemanusiaan dan atas dasar mereka sebagai sahabat seakidah kita.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM juga menyeru kepada semua masyarakat Islam khususnya untuk terus istiqamah dalam mendoakan keselamatan saudara kita di Gaza sana serta mendirikan solat sunat hajat sepanjang Ramadhan ini dan bacaan qunut nazilah agar dihapuskan segala serangan-serangan tentera Israel lakanatullah di bumi Gaza dengan izin Allah. InsyaAllah.
Dan kami di barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM, turut menyeru seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia mengadakan kutipan sumbangan ikhlas berbentuk barangan mahupun kewangan untuk disalurkan kepada masyarakat di Gaza bagi meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat di Gaza sebagai tanda sokongan kita terhadap misi kemanusiaan di Gaza.
- Bersama Mengizzahkan Islam -
Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
Yang Di Pertua,
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
Sesi 2014/2015

Petikan Statement Tragedi Nahas Boieng MH17 ( Pimpinan PMFPI Sesi 14/15)


Assalamualaikum w.b.t
Sebelum ini tergempar satu tragedi yang menyayat hati semua pihak terutama masyarakat di Malaysia bilamana dikhabarkan akan kehilangan pesawat MH370 yang berakhir operasi pencariannya di Lautan Hindi. Usaha pencarian masih lagi diteruskan sehingga hari ini.
Pada hari ini, Malaysia digemparkan lagi dengan tragedi yang hampir kurang sama, apabila masyarakat Malaysia telah menerima berita pada tengah malam semalam, bahawa pesawat jenis Boieng 777 - MH17 terhempas di negara Ukraine bersempadan dengan negara Russia. Pesawat tersebut dipercayai ditembak jatuh oleh golongan pengganas dengan menggunakan peluru berpandu BUK LAUNCHER.
Menurut beberapa sumber, pesawat MH17 tersebut telah membawa 295 penumpang dan 15 krew bertugas dalam pesawat dikatakan berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Amsterdam pada jam 12.15 malam (waktu Malaysia) menuju ke Kuala Lumpur International Airport dan dijangka akan tiba di tanah air pada jam 6.10 pagi hari ini. Nahas yang berlaku telah menyebabkan keseluruhan penumpang dan krew yang bertugas dipercayai terbunuh.
Untuk itu, Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM mengucapkan takziah kepada waris-waris keluarga mangsa nahas MH17 diatas pemergian rakyat Malaysia khususnya yang terlibat dalam tragedi tersebut. Sesungguhnya percaturan Allah itu ada hikmahnya. Kami mendoakan agar roh-roh mereka ditempatkan dengan golongan yang beriman. InsyaAllah. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita dikembalikan. Semoga waris-waris ahli keluarga mangsa tabah dan redha akan qada dan qadar Allah.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM juga memohon agar Kerajaan Malaysia lebih teliti dalam menyiasat akan punca nahas berlaku agar peristiwa yang pernah berlaku dalam usaha pencarian MH370 sebelum ini tidak menimbulkan sebarang kontroversi yang mendatangkan kemarahan pelbagai pihak. Sungguhpun tragedi yang berlaku memungkinkan berlakunya konspirasi, diharapkan agar pihak Kerajaan Malaysia tidak menyembunyikan apa-apa maklumat berkaitan tragedi MH17 ini. Mudah-mudahan urusan dalam mencari bukti dan punca nahas berlaku dipermudahkan oleh Allah. InsyaAllah.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus istiqamah dalam memohon doa agar negara kita dihindari bala bencana serta sentiasa berada dibawah lindungan rahmat-Nya. Tidak dilupakan, seruan daripada kami juga, agar masyarakat Malaysia terus istiqamah mendoakan usaha pencarian MH370 berakhir dengan hasil yang baik serta mendoakan keselamatan saudara seagama kita yang ditindas oleh Zionist lakanatullah di Gaza-Palenstine.
- Bersama Mengizzahkan Islam -
Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
Yang Di Pertua
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia