Antara perkara yang indah yang diajarkan dalam Islam adalah Muslim
diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan yang baik atau sekurangnya tidak
keji dalam ungkapannya. Muslim bukan seorang pencarut, pemaki hamun orang, atau
pencerca dengan cercaan yang keji dan jelik. Ketahuilah bahawasanya lidah
muslim itu indah, atau selamat daripada mengeluarkan kalimah-kalimah yang tidak
senonoh. Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam
kritikannya, tapi kalimah-kalimat yang ingin dituturkan itu dipilih, tidak
luncah, tidak juga berbentuk kejian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik
ceritakan :
“ Bukan Nabi SAW itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang
pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain “ ( Riwayat al-Bukhari
)
Mencerca atau memaki sememangnya bukan menjadi budaya umat Islam.
Dalam riwayat al-Tabarani pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya
ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi SAW lalu
bersabda yang bermaksud :
“ Memaki hamun Muslim itu perbuatan fasik dan memerangi Muslim itu
perbuatan kufur”
Lantas, dari manakah sifat tercela itu hadir?
Di Barat, tidak dinafikan wujud kesopanan dan kesantunan di dalam
petuturan mereka di dalam urusan rasmi, namun bahasa tidak senonoh tetap juga
dituturkan dan sudah sebati dalam kehidupan mereka. Hamburan kejian, luncah dan
penghinaan sentiasa meniti di bibir dan berlegar-legar dalam ruangan kehidupan
mereka sehinggakan hampir semua filem yang dipertontonkan oleh Barat
mengandungi unsur ini. Akan tetapi, filem seumpama inilah yang diangkat, dipuji
dan dijadikan contoh oleh penggiat seni agar meraih populariti sama seperti
mereka.
Lalu, apakah kita perlu bersikap kasar dengan mereka? Menuturkan
kata-kata kasar sebagai galang ganti kepada perasaan penuh kebencian kepada
barat?
Terdapat hadis yang menjadi cerminan untuk kita ikuti sebagai acuan
dalam membentuk peribadi muslim. Hadis di mana saat sekumpulan Yahudi datang
bertemu Nabi SAW dan memberikan salam dengan mengucapkan as-sam alaikum yang
bermaksud ‘ maut ke atas kamu ‘. Nabi SAW menjawab ‘wa alaikum’ sahaja. Isteri
Nabi, Aisyah r.a yang perasan dengan mainan ucapan salam Yahudi tersebut telah
menjawab “ as-sam ‘alaikum wal la’nah “ yang bermaksud ‘ maut dan laknat ke
atas kamu. Nabi SAW lantas bersabda yang bermaksud :
“ Nanti dahulu wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak
dalam semua perkara. Jawab Aisyah, “ Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah
apa yang mereka kata?” Sabda Nabi SAW, “
Aku telah pun menjawab “wa ‘alaikum”. ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).
Lihatlah betapa lunaknya balasan Nabi terhadap cercaan dan
penghinaan Yahudi kepada baginda. Inilah merupakan peribadi yang perlu
dicontohi oleh seluruh umat Islam. Perhatikanlah dengan mata, dengarkanlah
dengan telinga, kita pasti terduduk kecewa saat mendapati bahawa umat Islam
pada hari ini gagal dalam menjaga lidahnya dari menuturkan kata-kata cacian dan
penghinaan dek kerana terdorong oleh nafsu dan kemarahan melampau kepada
musuh-musuh Islam sehingga kita lupa mencotohi Nabi SAW dalam menuturkan kalam
yang baik.
Sedarilah bahawa, ilmu yang melimpah, harta yang bertimbun, sahabat
yang ramai, belum tentu mampu membuatkan lidah ini terlepas dari menuturkan
kata nista, cacian dan hinaan, sekalipun diri bergelar seorang pendakwah.
Hakikatnya, pendakwah yang lahir tidak mampu membimbing masyarakat dan ummah
kerana gagalnya dalam membentuk peribadi mulia.
Lidah tidak bertulang, namun bisa membunuh jiwa-jiwa manusia,
menghiris hati-hati insan, menghakis iman seorang muslim. Budayakan lidah
menuturkan kata-kata indah, kalimah-kalimah nasihat, agar ia membuahkan manfaat
untuk diri dan umat Islam. Usah marah, usah pula meradang, saat orang lain
tidak mahu ikut dan turuti nasihat dari kita, kerana ketahuilah bahawa, kita
sendiri tidak mahu turuti dan laksanakan apa yang kita sendiri tuturkan.
Wan Muzhaffar
Bin Wan Muda
Naib Yang Di Pertua
II
Persatuan
Mahasiwa Fakulti Pengajian Islam
Universiti
Kebangsaan Malaysia
Sesi 2014/2015
Sesi 2014/2015

ma syaa ALLAH
ReplyDeletesubhanallah...
teringin menjadi penulis...
saya suka lagu nie :)
MashaAllah. terkesan nasihat tuan. mohon share ya
ReplyDelete