Tuesday, June 10, 2014

Dakwah Islam Ada Strategi Tersendiri


Dalam Surah An-Nahl ayat 125 telah termaktub satu panduan kepada kita semua akan kaedah-kaedah dalam menyampaikan risalah Allah iaitu Islam :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”

Sesungguhnya segala perkhabaran dan percaturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Quran mempunyai hikmah dan keajaibanya tersendiri. Dalam konteks berdakwah, segala penyampaian itu bukanlah suatu seruan yang memaksa, tetapi suatu seruan yang akan membuka minda manusia untuk memilih jalan hitam mahupun jalan yang disinari cahaya hidayah.

Dalam melaksanakan seruan ini, perlu kepada panduan yang terperinci agar apa yang disampaikan itu tidak mengundang perkara yang tidak diingini. Disamping berbekalkan pengorbanan, semangat, ilmu serta niat yang mulia dalam penyebaran agama suci ini (Islam), seseorang daie (pendakwah) itu perlukan strategi dalam perlaksaannya. Panduan sudah tersedia dihadapan mata, hanya perlu sedikit sentuhan yang manis untuk menarik para mad‘u (sasaran dakwah) untuk lebih dekat kepada Islam sesuai dengan cara suasana serta pemikiran manusia masa kini. Hal ini adalah disebabkan kemajuan dunia semakin hari semakin pesat membangun bahkan pemikiran serta keintelektualan manusia semakin maju kehadapan memerlukan kepada penambahbaikkan dalam strategi perlaksanaan tersebut.

Islam bukan tersebar dengan mata pedang tetapi Islam itu disebarkan dengan kasih sayang. Utusan Allah (para nabi dan rasul) diutuskan ke dunia ini adalah kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang hampir ke kancah azab api neraka. Melalui ayat di atas, ternyata apa yang di ajarkan daripada para nabi dan rasul kepada kita telah mendatangkan impak yang besar terhadap perkembangan Islam. Dakwah Islam adalah memberi ruang dan peluang kepada non-Muslim khususnya untuk mengenali Islam dengan kondisi yang selamat agar sebarang khabar yang didengari oleh golongan mereka sebelum ini (Islam Is Terorrist) adalah palsu belaka.

Muhammad Hafiz Aizat Bin Hut
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
10 Jun 2014 / 8.30 PM

Monday, June 9, 2014

Bila Hati Berbicara


Pena ini mencoretkan lagi nukilan hati, berbicara dengan dinding kamar bukan kerana aku kerisauan. Aku tetap dirantaian celah-celah manusia. Namun aku tetap merasa sepi. Aku bertanya pada dinding kamar kenapa aku sunyi?
Aku bicara pada rembulan yang bersinar? Aku bertanya pada si mentari?
Kenapa aku terasa kosong benar jiwa, tiada jawapan, hanya bahasa nyanyian bisu mengiringi. Bertanya pada manusia? Gelak tawa mereka adalah tangis sedih hati yang rapuh. Aku mencari keindahan pada dunia ini. Pada seorang lelaki dan perempuan, lelaki dan perempuan itu mati. Pada segumpal wang, wang itu habis, pada sebuah jawatan, jawatan itu hilang.
Aku merantau lagi, mencari kebahagian yang abadi. Berlabuh dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain. Mencari apa itu yang tenang, mencari apa yang puas. Tetap jua sama. Pulang ke halaman, bersama tangan penuh debu dosa. Keindahan yang kekal abadi itu masih tidak kunjung tiba. Ramai yang berbicara dunia ini sementara, namun tidak ramai yang bersedia. Sama jua aku. Berkira hidup ini lama lagi, berdosa tidak apa.
Terlupakah kita, dengan mengingati ALLAH jiwa menjadi tenang? Kitab suci, tersedia rapi di almari, berhabuk, lusuh sedikit tidak terusik. Menanti sahabat berlabuh nyawa meninggal dunia baru terbaca. Menanti sakit derita hiba baru terucap kalimah suci itu. Baru tersedar. Bukan dinding kamar patut kita bicara, bukan pada mentari patut kita bertanya, bukan pada rembulan, bukan jua pada sekecil hamba yang hina kita bersoal, juga bukan pada bintang dan pelangi.
Sujudlah padanya, berbicaralah dengan ALLAH tuhan segala pencipta .Bermohonlah padanya, mintalah padanya, itulah kebahagian yang aku, kamu dan mereka cari selama ini

[Sumber : iluvislam.com]

Thursday, June 5, 2014

Gerakan Islam - Antara Wala' & Taksub

Salam'alaik. Tertarik dengan suatu laman yang menceritakan tentang gerakan Islam. Apa yang diceritakan adalah realiti yang kita tidak sedar pada era ini. Mungkin perkara ini boleh dijadikan sebagai halwa fikiran untuk kita jadikan panduan dalam memajukan gerakan Islam seiring waqi' sekarang.



Islam mengajar umatnya supaya tajarrud ataupun membebaskan diri dari segala ideologi yang bertentangan dengan ajaran islam. Tidak boleh mencampur adukkan Islam dengan ajaran lain apatah lagi mengambil sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian lain. Islam sudah cukup sempurna kerana ia adalah ciptaan Tuhan Maha Sempurna, bukan ciptaan mana-mana manusia yang bersifat lemah.

Firman Allah SWT : Semulia-mulia agama disisi Allah adalah agama Islam.

Pun begitu, Islam tidak mengajar umatnya supaya menolak sebarang pembaharuan dan idea-idea baru yang bermanfaat kepada Islam selagi tidak bercanggah dengan Islam walaupun tidak pernah diamal para Nabi dan Rasul, sahabat, ulama atau nenek moyang kita sebelum ini. 

Bahkan, Islam mencela pula kita meniru buta amalan dan cara orang-orang dulu tanpa menilai terlebih dahulu dengan ilmu dan realiti semasa. Ia adalah amalan umat-umat dahulu yang enggan menerima dakwah pemulihan dan pembaharuan yang dibawa nabi-nabi mereka sehingga menerima laknat dari Allah.

Saidina Abu Bakar r.a memerangi golongan yang enggan bayar zakat. Amirul Mukminin Umar r.a banyak memperbaharui sistem pentadbiran pemerintahan islam. Khalifah Uthman pula memusatkan rujukan al-Quran kepada 5 mushaf sahaja dan Khalifah Ali RA buat pertama kalinya menubuhkan suruhanjaya bebas mengkaji semula jawatan khalifahnya. Semua contoh ini adalah perkara baru yang belum dibuat di zaman Nabi. Generasi Islam terdahulu amat mengerti konsep islah dan tajdid.

Sebenarnya tarbiyyah Islamiah melahirkan umat yang wala' bukan taksub, kritis bukan ingkar, idealistik juga realistik, terbuka tanpa terbabas, dan berprinsip bukan rigid. Muhasabah ialah salah satu bentuk "check and balance" terbaik untuk Islam sentiasa bergerak maju kehadapan. Secanggih manapun kereta yang dicipta, tetap dipasang cermin sisi dan cermin pandang belakang. Walaupun kita mungkin tidak mampu untuk meniru cara umat islam dahulu, tapi kita mungkin boleh lakukan yang lebih baik dari mereka.

GERAKAN ISLAM - Sesuai dengan namanya sebagai sebuah 'gerakan', perlu sentiasa bergerak dari satu pendekatan ke satu pendekatan, dari satu strategi ke strategi yang lain, menyusun misi dari tangga pertama hinggalah sampai ke matlamat tertingginya. Kekal dengan tradisi semata-mata adalah suatu kerugian yang amat besar. Kata Syeikh Ali An-Nadwi : Gabungan antara tradisi lama yang baik dengan penemuan baru yang bermanfaat.

Pendokong Islam tidak boleh statik dengan cara kerja orang-orang dahulu sahaja. Perlu difahami cara kerja mereka adalah sesuai dengan keadaan persekitaran mereka di zaman kegemilangan mereka. Ianya perlu sentiasa diperbaharui (muhasabah) dan disegarkan dengan langkah seterusnya. Setiap anak tangga yang didaki memerlukan booster tersendiri, yang mungkin berbeza dengan sebelumnya kerana setiap anak tangga itu punya halangan musuh yang berbeza-beza.

Kata Imam al-Qurafi : Jumud/rigid dengan hanya mengikut kata-kata orang terdahulu selama-lamanya adalah satu kesesatan dan kejahilan terhadap maksud ulama-ulama dan orang terdahulu itu sendiri. Kalaulah tokoh yang kita sanjungi itu hidup pada zaman kita, pasti mereka akan baharui prinsip lama yang mereka perkenalkan demi tuntutan massa. Nabi Muhammad SAW yang diutus lewat abad ke tujuh tidak lagi bulat-bulat membawa ajaran umat dahulu. Nabi Isa AS juga yang bakal turun akhir zaman nanti tidak lagi membawa ajaran Kitab Injilnya, tetapi menjunjung syariat hari ini. Imam Syafie sendiri terkenal dengan mazhab lama dan mazhab baru demi memenuhi dua latar yang berbeza.

Islam tidak sama dengan mana-mana ajaran yang memuja bapa ideologinya seperti Karl Marx oleh Komunis, Adolf Hitler oleh Nazi, Mahatma Gandhi oleh anti-kasta ataupun Nelson Mandela oleh anti-Apartied. Sebarang pujaan melambung terhadap beberapa tokoh dalam Islam adalah diluar norma agama. Bahkan mendewa-dewakan batang tubuh Rasulullah SAW sendiri ditegah oleh Islam supaya tidak terjadi sepertimana Kristian yang mendewakan Nabi Isa AS.

Merubah strategi pentadbiran, strategi dan cara kerja bukan bermakna kita ingkar terhadap kepimpinan sebelum ini, tetapi itulah makna kita wala' terhadap tarbiyyah yang mereka ajarkan selama ini. Wala' diletak bukan kepada batang tubuh pimpinan dan tokoh semata-mata, tetapi untuk agama Allah jua. Ibnu Qayyim apabila dikritik kerana menyalahi pendapat gurunya Imam Ibnu Taimiyah, beliau berkata: Aku menyayangi Ibnu Taimiyah, tetapi kebenaran itu lebih aku sayangi daripada Ibnu Taimiyah.

TAKSUB - Pimpinan sendiri sebenarnya rimas dengan anak buah yang tidak kritis yang hanya tahu mengampu dan memuja tanpa menuang idea-idea segar yang boleh membantu mereka memajukan gerakan. Itu bukan taat namanya tapi taksub.

Kadang-kadang mereka tertekan dengan sikap anak buah yang ikut bulat-bulat apa sahaja mereka kata tanpa komen dan respon. Seolah-olah membiarkan mereka sendirian memegang payung Islam sedangkan yang lain hanya berlindung di balik payungannya. Letih.

Kata-kata seperti "sebelum ni buat macam ni" atau "ustaz tu suruh buat macam tu" atau "Orang dulu tak pernah buat macam ni" harus diminimakan dalam merencana sesuatu. Jika ingin nyatakan juga, datangkan illah dan sebab-sebabnya sekali bukan meniru buta. Belajar cara ulama mengkaji Tarikh Tasyrik sebelum meniru ijtihad terdahulu.

Kalau ianya hadis nabi sekalipun, ulama' tidak terus amalkan dengan zahir makna semata-mata. Asbab Wurudnya perlu dikaji, Nasikh Mansukhnya perlu dikaji, gaya bahasa arabnya perlu dikaji, dan waqi'nya juga perlu dikaji! Telusurilah disiplin Ulum Quran, Ulum Hadis dan Usul Fiqh sebelum beristinbat.

Kata Imam Syatibi : Beramal dengan zahir nas secara terlampau mengikut sahaja adalah jauh dari maksud syariat. Sebaliknya tidak mempedulikannya juga adalah suatu kecuaian. Revolusi dan inovasi adalah ajaran Islam. Barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang baik, maka untuknya pahala dan untuknya juga pahala orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat. Dan barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang tidak baik, maka untuknya dosa dan untuknya juga dosa orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.

WALA' -  Dalam menjunjung dasar baru, 7 perkara perlu diambil kira :

  1. Ikhlaskan niat sebelum berbicara. Jangan mengharap dari lontaran pendapat dan kritikan selain redha Allah dan kebaikan jemaah semata-mata bukan kerana kemasyhuran, kerana dibayar pihak tertentu atau kerana benci/marah/tidak puashati terhadap pihak lain.
  2. Al-Quran dan Hadis perlu menjadi pegangan utama agar tidak terbabas. Jangan rasa kita lebih bijak dari pencipta kita sendiri dan nabiNya. Hadis larangan mengada-adakan sesuatu yang bukan dari islam (bidaah) harus diteladani sekemasnya.
  3. Pengalaman dan pendapat orang dahulu perlu diteliti supaya kita tahu dari titik mana kita harus bermula. Jangan sampai mengulang-ulang kajian yang sudah diterokai dan ditemui jawapannya sejak lama dahulu. Membazir masa dan kurang faedahnya.
  4. Beradab dengan ulama'-ulama' lain yang lebih senior. Masing-masing bersungguh berijtihad untuk terus memajukan islam. Cara yang mereka guna adalah yang terbaik untuk zaman mereka. Alimnya kita hari ini pun kerana kesungguhan mereka memelihara agama supaya sampai ke generasi kita.
  5. Berani mengakui kesilapan. Sebagaimana kita berani mengkritik, harus juga berani untuk dikritik. Jangan taksub pada pendapat sendiri kerana semua manusia tidak sempurna. Tawadhu adalah sikap terbaik kerana kita berpendapat untuk mencari benar bukan mencari menang. Tazkiyah Nafs adalah ubat untuk membuang ego diri.
  6. Mentaati pimpinan selama tidak bercanggah dengan nas. Walaupun ruang perbincangan sentiasa dibuka, itu bukan bermaksud kita boleh menangguh arahan yang dikeluarkan kerana mudaratnya besar melebihi mudarat sekiranya ijtihad pimpinan itu salah. Bahkan, kesilapan sesebuah jemaah adalah hikmah terbesar dari Allah yang menginginkan sesuatu yang terbaik disebaliknya. 
    Ambil contoh Saidina Ali yang mulanya mempersoal kewajaran tahaluf siyasi antara muslimin dan musyrikin, tetapi akur setelah mengetahui bahawa ia adalah sebuah arahan. Lihat juga contoh Hubaib bin Munzir yang berbincang dengan baik arahan Nabi dalam perang Badr sehingga Nabi mengubah strategi asal untuk menuruti cadangan beliau. Fiqh Siasah harus dihadam rapi.
  7. Mengakui bahawa khilaf dalam berpendapat adalah lumrah hidup. Masing-masing ada pendapat dan bukan semua pendapat boleh disatukan. Jalan terbaik ialah menghormati pendapat masing-masing dan akur apabila pandangan kita belum diterima. Walaupun terbukti pandangan Saidina Umar lebih baik, beliau akur dengan keputusan nabi yang memilih pendapat Saidina Abu Bakar dalam beberapa peristiwa. Jika keputusan itu adalah keputusan kepimpinan jemaah, ia adalah yang paling tepat. Fiqh Harakah juga perlu terisi di ruang minda.
Sebagai konklusi, binalah akal dengan tapak akidah, syariat dan akhlak yang mantap terlebih dahulu sebelum membina idea yang mencakar langit. Muhasabah bersama demi menuju ke arah kebaikan.

Friday, July 19, 2013

Kemanisan Usrah


Usrah adalah keluarga. Bermakna takde usrah tak adalah keluarga. Usrah adalah satu proses untuk mengikat hubungan di kalangan ahlinya untuk melakukan kerja kerja Islam dengan lebih mantap. Tegur menegur dan nasihat menasihati adalah asas kepada kekuatan jamaah. Seperti yang disarankan dalam surah Al Asr "Hendaklah kamu nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran..."

Bukan mudah untuk menegur dalam perkara kebenaran dan bukan mudah juga untuk menegur tanpa menyinggung perasaan seseorang. Bukan mudah juga untuk sabar dalam menegur dan mengajak orang lain bersabar. Apatah lagi bila yang ditegur itu lebih dari kita samada dalam ilmunya,statusnya atau 'anginnya'. Tapi itulah yang diajar dalam Islam. Itulah yang diajar dalam Surah Al Asr "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang orang yang beriman dan beramal soleh,nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.

Semua ini boleh dipraktikkan dalam usrah kerana ahli usrah adalah ahli keluarga. Dalam usrah juga dapat diperkukuhkan ikatan ukhwwah malah dapat dipertingkatkan lagi mutu ukhwwah atau persaudaraan di antara ahli usrah. Itu adalah kelebihan usrah. Kemanisannya hanya dapat dirasai bila pelaksanaannya menepati kehendak usrah .

Inilah kerugian besar yang didapati bila tidak berada dalam program usrah. Lama tak berusrah menyebabkan kotak pemikiran pun sedikit jumud kerana lama tidak diasah dan digasak dengan perbincangan dengan ahli usrah. Perbincangan yang terbimbing. Perbincangan yang menjadikan sirah perjuangan nabi nabi dan para sahabat sebagai garis panduan dan idola. Perbincangan yang peringkat awalnya adalah perbualan dan pandangan teori kepada peringkat amalan dan perbuatan. Semuanya tidak mampu secara sendirian. Nabi SAW berpesan " Orang mukmin bagi seorang mukmin yang lain ibarat bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain"

Dalam Usrah ada rukunnya iaitu :

1. Taaruf atau berkenalan-“Tak kenal maka tak cinta”. Asas kepada gerakan dakwah ialah kasih sayang dan ia bermula dari pengenalan mendalam antara dua sahabat. Berkenalan bukan hanya kenal nama dan hobinya tapi juga keluarganya malah 'peel' perangainya. Yang lebih utama kenal dan berkasih sayang atas semangat cinta kepada agama Allah. Tautan ukhwah yang kukuh akan membuahkan hasil yang baik dalam pergaulan dan seterusnya kerja kerja dakwah.

2. Tafahum iaitu bersefahaman-Tidak akan ada ikatan ukhwah tanpa adanya persefahaman. Persefahaman yang kuat akan dapat menggelakkan sebarang perasaan syak wasangka,hasad dengki,jauh hati yang banyak memberi kepincangan dalam tautan ukhwah. Persefahaman menjadikan amalan memberi dan menerima nasihat berlangsung dengan baik.

3. Takaful iaitu berseimbangan-Membantu dan membela nasib saudaranya,jangan sampai ada yang terbiar atau terlantar. Takaful ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhwwah. Ianya dilaksanakan bermula dengan bertanya khabar,menziarahi dan tolong menolong. Sabda Nabi SAW,"Keluar seorang dari kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf selama sebulan di masjidku ini"

Inilah 3 rukun usrah yang perlu diamalkan dan dipelihara agar matlamat dan kemanisan usrah tercapai dan supaya usrah itu tidaklah semata mata menjadi satu beban yang tidak mempunyai sebarang erti.

Sunday, February 24, 2013

Lupa, Leka & Alpa



Assalamualaikum semua. 

Untuk entry kali nie, saya tergerak hati untuk mengajak kalian semua menghayati kupasan tajuk "Lupa, Leka & Alpa" ini. Coretan saya kali ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada diri saya sendiri disamping menjadi peringatan kepada kalian semua. 



Sesungguhnya manusia itu sentiasa lupa, disebabkan itu Allah menciptakan manusia adalah untuk saling sentiasa ingat mengingati di antara satu sama lain. Apabila manusia itu sudah lupa, manusia mula terleka dan alpa. Alhamdulillah sekiranya manusia itu lupa untuk melakukan kejahatan di dunia (semoga lupa untuk selamanya dalam melakukan kejahatan ini). Tetapi na'uzubillah (semoga dijauhkan perkara ini oleh Allah) sekiranya manusia itu lupa untuk mengingati dan melaksanakan segala perintah Allah.

Firman Allah dalam surah Al-'Asr  (103 : 1-3) :

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Sesungguhnya Allah itu Maha mengetahui apa yang baik buat hamba-hamba-Nya. Sehinggakan Allah mengingatkan kita dalam pelbagai firman-Nya dalam Al-Quran dari pelbagai aspek kehidupan agar kita tidak lalai dari mencari dan mengejar keredhaan-Nya di muka bumi buat bekalan di akhirat kelak.

Hakikat masa kini, di dalam arus kemodenan yang semakin pesat membangun, manusia tenggelam dengan urusan dunia lantas lupa dan leka untuk membahagikan masa untuk urusan akhirat. Sebenar-benar urusan adalah mencari urusan akhirat berbanding dunia kerana dunia ini hanyalah platform untuk kita mengumpul pahala sebagai bekalan akhirat kelak. Tiada manusia yang dapat menentukan dirinya masuk ke dalam syurga hatta banyak beribadat sekalipun kerana semua itu ketentuan Allah. Tetapi dengan beribadat dan mengamalkan segala yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang Allah adalah tiket untuk kita menempah kamar indah di syurga.

Apa yang perlu dititik berat disini ialah, jangan sesekali kita lupa untuk mengingati Allah kerana sekali kita terlupa lantas terleka, kita hampir dengan azab neraka Allah. Ya, tidak mustahil. Al-Quran telah membuktikan bahawa umat-umat pada zaman dahulu telah hampir dengan azab neraka. Diibaratkan hanya selangkah lagi, manusia akan jatuh menjunam ke dalam api neraka. Sebab itulah para Nabi dan para Rasul diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan pesanan dan menyelamatkan umat daripada terus tersesat dalam kehidupan. Dan ini diantara hikmah dan nikmat Allah mengutuskan para Nabi dan para Rasul iaitu menyelamatkan manusia daripada azab Allah kepada kembali menggapai redha Allah.


Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2 : 214) :

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. 

Firman Allah dalam Surah Asy-Syuura (42 : 48) :

Jika mereka berpaling maka Kami tidak mengutus kamu sebagai pengawas bagi mereka. Kewajibanmu tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah). Sesungguhnya apabila Kami merasakan kepada manusia sesuatu rahmat dari Kami dia bergembira ria karena rahmat itu. Dan jika mereka ditimpa kesusahan disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri (niscaya mereka ingkar) karena sesungguhnya manusia itu amat ingkar (kepada nikmat). 

Kesimpulannya ialah :

1. Sentiasa ingat Allah walau dimana kita berada.

2. Sentiasa sibukkan diri dengan mencari keredhaan-Nya agar kita tidak 
    mudah melakukan perkara-perkara yang sia-sia di muka bumi Allah.
3. Sentiasa muhasabah diri setiap hari sebagai checklist kita untuk menjadi 
    manusia yang sentiasa lebih baik dari hari semalam.

Paling penting sekali, whatever we do, do it because of Allah. InsyaAllah siapa yang mencari redha Allah, Allah akan menolongnya (^_^)




Tuesday, February 5, 2013

Masa Muda Itu Amat Bernilai


~ Assalamualaikum ~

First of all, I wanna appologise to all of you because of sudah lama tidak update blog nie atas sebab-sebab dan ujian-ujian yang Allah berikan kepada saya. Tapi saya bersyukur, sebab hikmahnya, Allah nak didik saya supaya sabar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Habuannya, Allah beri lebih daripada itu kepada saya. Thanks Allah for everything.

Untuk post kali ini adalah berkaitan dengan tajuk di atas. Seperti biasalah ya, apa yang saya catatkan ini adalah melalui luahan rasa hati saya dikuatkan dengan hujah-hujah yang tidak lari daripada tuntutan syarak. InsyaAllah.

Masa muda ini adalah satu-satunya moment yang kita akan lalui sepanjang lumrah kehidupan seorang manusia. Tetapi tidak semua kerana ianya terletak kepada percaturan qada' dan qadar Allah. Ada yang pergi sebelum sempat merasai zaman muda bahkan ada yang pergi ketika sedang asyik terleka pada zaman muda. Amat beruntung kepada sesiapa yang diizinkan Allah untuk hidup di zaman muda ini. Akan tetapi kita tidak tahu dimana kedudukan kita sekarang, adakah kita akan melaluinya sehingga kita melepasi zaman muda atau sebaliknya.

Zaman muda inilah satu-satunya zaman dimana kita sebagai manusia / hamba Allah mengaut segala bekalan ilmu dan pahala untuk kita bawa di akhirat kelak. Kerana pada zaman ini otak kita masih cergas, tubuh masih utuh, tenaga sentiasa ada. Setiap titik peluh kehidupan kita biarlah perjuangkan agama agar tidak kesal di hari kelak.

Tapi sayang seribu kali sayang, fenomena zaman ini, kita lihat sendiri siapa yang berada di saf hadapan ketika berjemaah di masjid, majoritinya golongan tua. Di mana kita sebagai golongan muda yang kononnya merupakan generasi berkualiti masa depan agama, negara dan bangsa? Tepuk dada tanyalah iman anda. Itu hanya sebagai gambaran. Realiti kehidupan masa kini ramai anak-anak muda menggunakan masa muda mereka untuk perkara sia-sia. Pendek kata akhlak rosak.

Ya, tidak dapat dinafikan bahawa anak muda berdarah panas dan sukakan hiburan dan keseronokkan. "Enjoy life selagi masih muda, bila dah tua nanti tak boleh dah nak enjoy macam nie" Statement famous dalam kalangan anak muda kita. 

Tetapi tidakkah kalian duhai anak muda sedar, bahawa dunia ini hanya pinjaman semata, sementara belaka. Bukan untuk menghalang kalian mencari dunia, tapi biarlah ada keseimbangan untuk akhirat. "Tidak Aku (Allah) menjadikan jin dengan manusia itu selain beribadat kepada-Ku". Ini  tujuan kita hidup di dunia. Tujuan yang paling aula (penting) selain urusan-urusan yang lain. Cari redha Allah dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai melaksanakan apa yang dilarang-Nya tetapi meninggalkan apa yang disuruh-Nya. "Apa nak takut, orang bukan nampak pun kita mencuri ni" "Kolot la kau ni masih virgin" "Kalau tak isap rokok, tak tunggang arak bukan anak muda namanya" Wanna know something, siapa sahaja yang berkata sedemikian especially Muslim, I said STUPID ! 

Keseronokkan di dunia hanya sementara sahaja, sedangkan Allah janjikan keseronokkan yang teramat indah di syurga. Jadi lebih berbaloi untuk kita korbankan yang sementara untuk dapat yang kekal selamanya. Mungkin susah nak nampak kan analogi macam nie. Ok, simple, sekiranya anda mengumpul duit semata-mata untuk membeli Galaxy Note sedangkan anda mampu tunggu lebih masa sikit untuk dapatkan Iphone 5 and sebuah Macbook, better korbankan masa itu untuk mendapatka lebih baik bukan? 

Macam itulah kehidupan kita di dunia, sekiranya kita banyak mensia-siakan masa muda kita untuk keseronokan sementara sedangkan kita mampu untuk mengorbankan masa kita untuk mengaut segala bekalan untuk hari akhirat kelak, yang dijanjikan kebahagiaan yang kekal bagi yang mentaati-Nya, lebih baik kita korbankan masa muda kita kearah itu daripada masa itu dihabiskan dengan perkara yang tidak berfaedah dan menempah murka Allah.

Abis bagaimana dengan anak-anak muda yang dah terlanjur melakukan dosa-dosa? Duhai anak muda, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Sentiasalah kita memohon taubat kepada Allah. Apa makna taubat? Taubat adalah meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa tersebut selama-lamanya tanpa ada terdekit walaupun sesaat untuk melakukan dosa-dosa itu semula. Jadi bertaubatlah kalian untuk kembali pada jalan yang diredhai-Nya. Janji Allah bukan permainan seperti janji orang sedang bercinta. Janji Allah segalanya akan tertunai.

Jadi pilihan ditangan anda, sama ada syurga atau neraka, bahagia dunia sementara atau bahagia akhirat selamanya. Akhir kalam pesanan ini ditujukan kepada diri saya juga anda semua. Diharap agar semua dapat manfaat akan coretan yang tak seberapa ini. Salam'alaik (^_^)

Friday, January 4, 2013

Buku Baru Kehidupan



Subhanallah. Alhamdulillah. Itu kalimah yang mampu aku ungkapkan. Syukur apabila di datangi sahabat yang bisa memberi peringatan kepada diri ini. Setiap kata-kata yang keluar dari bibirnya, amat menyentuh dan memberi 1001 makna. Lantas pemikiran ini memujuk hati serta diri untuk sentiasa dan istiqamah berada pada jalan yang diredhai Allah.

Iman Era Moden. Ya, itu yang bisa aku lafazkan sekarang. Kebiasaannya kita sentiasa mendengar bahawa iman manusia kadangkala naik kadangkala menurun. Tidak sama iman manusia biasa dengan para nabi dan rasul. Kerana iman mereka sentiasa bertambah dan bertambah dari semasa ke semasa. Tidak seperti kita yang sentiasa terdedah kepada dosa dan noda. Istilah sekarang masih digunakan iman manusia itu naik dan turun dan ada satu pertambahan dari apa yang didengari iaitu iman manusia kini keluar dan masuk. Allahuakbar. Ya, ternyata iman manusia kini keluar dan masuk. BAHAYA !! Kerana tidak dikatakan seseorang itu beriman selagi dia melakukan maksiat yakni kemungkaran di atas muka bumi Allah. Muhasabah diri kita semula. Adakah kita layak untuk berada disyurga Allah atau adakah kita ini bakal dilemparkan ke neraka Allah? Tepuk dada tanyalah iman. Selagi mana diri kita masih dikancah kebinasaan, maka sedarlah bahawa kita sedang menempah azab Allah.

Ini bukan satu omongan kosong. Ini satu peringatan buat kalian dan diri ini. Hakikatnya, kita sudah lali dan serasi dengan cara kehidupan kita yang serba leka ini. Ya ! Aku berani berkata demikian. Cuba fikirkan semula, sudah berapa tahun kita diberi peluang hidup di muka bumi Allah ini? Berapa banyakkah amal ibadah kita terhadap Allah? Adakah kita melaksanakannya secara sempurna atau adakah kita melakukan sambil lewa atau adakah kita hanya memadang perkara itu hanya dengan sebelah mata?

Manusia oh manusia, mengapa kita masih terleka dengan mainan dunia? Allahuakbar. Sepatutnya kita menjadikan dunia ini sebagai satu persinggahan sementara untuk mengaut keuntungan di akhirat. Bukan apabila terjadi sesuatu musibah baru kita nak dekat dengan Allah. Tidak ! Itu salah caranya. Kita hendaklah sentiasa dekat dengan Allah tiap masa dan ketika. Allah itu satu-satunya tempat pergantungan kita. Tempat segala nikmat yang dicurahkan kepada kita. Kita makan nasi, kenyang bukan? Bukan kerana nasi itu kita kenyang, tapi Allah yang bagi kita kenyang. Kita tidur untuk rehat bukan? Bukan kerana tidur itu kita rehat, tapi Allah yang izinkan kita berehat. Masih lagi manusia ini tidak sedar, ego, takbur !

Kita ini hanyalah hamba Allah. Kepatuhan dan ketaatan itu satu-satunya kita laksanakan semata-mata kerana perintah Allah. Mengapa harus takut untuk kita melakukan kebaikan? Mengapa harus pandang serong sekiranya kita ingin berubah ke arah yang diredhai? Adakah manusia itu berkuasa? Mungkin hanya kepada yang berjawatan tetapi Allah itu Maha Berkuasa ke atas sekalian alam. 

Pintu taubat masih terbuka. Ya masih lagi terbuka selagi mana tidak terbitnya matahari dari sebelah Barat sana. Pandang ke dalam lubuk hati, sedarkan diri, bahawa Allah sentiasa memberi peluang kepada kita untuk berubah. Allah itu Maha Penyayang. Kalau Dia tidak sayang, tidak perlu tunggu esok untuk Allah hancurkan alam ini gara-gara manusia yang tidak patuh kepada perintah-Nya. Ayuh kita koreksi diri kita, checklist semula iman kita, semoga kita masih sempat untuk bertaubat dan berubah ke arah kebaikan. InsyaAllah. Sekiranya kita jaga Allah, Allah akan jaga kita. Bagaimana untuk kita jaga Allah? Jaga dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Takbir.